AKSI Federer selepas menewaskan  Sonego di Paris. - FOTO Agensi
AKSI Federer selepas menewaskan Sonego di Paris. - FOTO Agensi
AFP

ROGER Federer kembali ke Roland Garros dalam tempoh empat tahun dengan kemenangan straight set ke atas pemain Itali, Lorenzo Sonego semalam manakala harapan Angelique Kerber melengkapkan gelaran Grand Slam tersekat di pusingan awal.

Federer, juara 20 kali kejohanan utama tidak beraksi di Terbuka Perancis sejak 2015 apabila dia mara ke suku akhir.

Bagaimanapun, pemain berusia 37 tahun itu tiada masalah untuk menang 6-2, 6-4, 6-4 dalam masa 41 minit di gelanggang Philippe Chatrier yang hampir siap proses renovasi.

Kemenangan itu yang ke-60 berturut-turut buat Federer pada aksi pusingan pertama Grand Slam.

"Saya agak gemuruh pada permulaan, jantung berdegup kencang,” kata Federer yang kagum dengan stadium berwajah baharu itu.

"Saya rasa bangga beraksi di atas gelanggang ini. Sangat menarik dan tahniah kepada mereka yang terbabit. Harap saya dapat beraksi di sini pada aksi seterusnya.”

Dia akan berdepan pemain Jerman, Oscar Otte yang hanya menang kali kedua dalam masa lapan tahun selepas menewaskan pemain Tunisia, Malek Jaziri 6-3, 6-1, 4-6, 6-0.

Federer mematahkan servis lawan lima kali dan meledak 36 ‘winner’ ke atas Sonego yang menduduki ranking 73 dunia dan mara ke suku akhir Monte Carlo Masters.

Sementara itu, hasrat pilihan kelima dan juara Wimbledon dari Jerman, Kerber melengkapkan gelaran Grand Slam tidak kesampaian selepas dikejutkan pemain remaja Russia, Anastasia Potapova.

Kerber tewas 6-4, 6-2 kepada pemain berusia 18 tahun yang menyertai Terbuka Perancis buat kali pertama.

Kerber, 31, kini tewas enam kali berturut-turut aksi pembukaan Terbuka Perancis.

Pilihan keenam dari Greece, Stefanos Tsitsipas yang menewaskan Federer sebelum mara ke separuh akhir Terbuka Australia dan menewaskan juara 11 kali Roland Garros, Rafael Nadal di Madrid turut mara ke pusingan kedua.

Pemain berusia 20 tahun itu meleburkan cabaran pemain Jerman, Maximilian Marterer 6-2, 6-2, 7-6 (7/4).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 12:00 PM