FOTO hiasan
FOTO hiasan
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Bintulu: Tujuh sekeluarga dikhuatiri lemas apabila perahu panjang yang dinaiki karam akibat berlanggar dengan sebuah tongkang di Sungai Kemena di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 2.30 petang tadi, seorang ahli keluarga yang bertindak sebagai pemandu perahu, Johnnie Ganeng, 31 berjaya menyelamatkan diri, manakala tujuh ahli keluarga hilang dan dikhuatiri lemas.

Kira-kira 4.30 petang, mayat seorang ahli keluarga, warga emas Jaba Lembang, 63, ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Menurut sumber, lapan sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari Hulu Sebauh menyambut Hari Gawai.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, enjin perahu yang dinaiki lapan sekeluarga itu rosak dan terkandas di tengah sungai.

"Ketika cuba membaiki enjin, arus deras dari sebuah bot tunda menyebabkan perahu mereka hilang kawalan dan terlanggar sebuah tongkang yang berada berhampiran.

"Akibat perlanggaran itu, lapan sekeluarga terjatuh dalam sungai dengan pemandu perahu berjaya menyelamatkan diri dan pergi ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Bintulu untuk membuat laporan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, Deputi Superintendan Lim Kwai Seng berkata, sebaik menerima laporan, PPM Sibu melancarkan dua pasukan bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

"Operasi pertama berjaya menemui seorang warga emas kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut," katanya.

Operasi mencari enam mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 7:20 PM