ZAINAL atur jadual persembahan selain buat single terbaru untuk dia mencipta nama.
ZAINAL atur jadual persembahan selain buat single terbaru untuk dia mencipta nama.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Selepas perjuangan dalam program Mentor Legend berakhir Disember tahun lalu, penyanyi popular malar segar, Zainal Abidin yakin protegenya, Nadeera mempunyai masa depan cerah.

Zainal, 56, gembira Nadeera mula mendapat perhatian melalui jemputan persembahan. Harapannya, single terbaru, mampu memberi sinar buat Nadeera mencipta nama.

Namun, untuk mencapainya, usaha tanpa lelah dan tawakal sedaya mungkin seharusnya datang daripada Nadeera atau Nadeera Farah Zaini, 22.

Itulah kata-kata azimat dicurahkan mentor Nadeera, penyanyi popular malar segar, Zainal Abidin tatkala berbual dengan penyanyi lagu Hijau itu.

Katanya, dia bersyukur sebab Nadeera mula mendapat perhatian melalui jemputan persembahan untuk majlis korporat dan acara kerajaan. Bulan lalu, jadualnya boleh dikatakan penuh dan Zainal tolong susunkan jadual untuknya.

“Sambutan peminat sangat menggalakkan. Peminat kini lebih matang menilai muzik berbanding sebelum ini.

“Saya harap lagu Hasrat Hati ciptaan Amirah Ali dan lirik Sulu Sarawak mampu menaikkan namanya,” kata Zainal.

Menurutnya, bukan saja single Nadeera, Hasrat Hati berjaya dikeluarkan malah promosi di radio dan media lain banyak dilakukan.

Zainal turut memuji Nadeera sebagai penyanyi muda yang mampu menyanyikan lagu asli dan keroncong dengan baik.

“Kalau kita tidak kekalkan lagu tradisional dari nenek moyang kita, siapa lagi? Disebabkan itu, album penuh Nadeera yang masih dalam proses pembikinan akan turut ­menyelitkan elemen asli dan keroncong.

“Contohnya lagu Fatwa Pujangga yang pernah dinyanyikannya ketika persembahan di pentas Mentor Legend lalu, elemen jazz dan asli diselitkan. Ia mendapat maklum balas memberangsangkan daripada peminat,” katanya.

Satu demi satu pujian dihamparkan Zainal memberi semangat kepada Nadeera untuk terus kekal mempertahankan bidang yang dipilihnya kini.

Katanya, sebelum ini keluarganya cukup bimbang untuk melepaskan anak dara mereka di bawah jagaan orang lain.

Namun selepas diberi jaminan dan kesungguhan ditunjukkan Zainal untuk mengangkat Nadeera

ke peringkat lebih tinggi, akhirnya mereka lepaskan.

“Ayah percaya saya boleh berjaya di bawah didikan Zainal dan dia beri 100 peratus kepercayaan kepada beliau. Zainal pun banyak memberi nasihat dan teguran, sama seperti seorang ayah menegur anaknya.

“Saya bersyukur sebab ada mentor berada di sisi dari mula masuk industri dan beri nasihat apabila saya mampu berdiri sendiri kelak,” katanya terharu.

Katanya, Zainal pentingkan disiplin dunia dan akhirat. Ketegasannya terserlah apabila masuk bab solat lima waktu.

Malah dari segi keperibadian, mentornya sering ingatkan Nadeera supaya selesa dan yakin dengan diri sendiri. Selain itu, jangan cepat mengeluh dan menjadi diri sendiri.

Dari segi genre dan pemilihan lagu, kata Nadeera Zainal sering nasihatkannya supaya pilih genre lagu yang akan tentukan hala tuju kehidupannya selepas ini.

Katanya, sebagai penyanyi ia bukan mengenai apa yang pendengar mahu dengar sebaliknya apa yang terbaik boleh diberikan penyanyi kepada pendengar.

“Itu adalah formula yang sering diterapkan Zainal dan saya percaya untuk menjadi penyanyi serta pengkarya, kena berfikir di luar kotak,” katanya.

Bercakap mengenai perancangan selepas ini, Nadeera melalui Afrozapin Network Sdn Bhd, milik Zainal Abidin dalam proses menyiapkan album pertama dijangka siap selepas Aidilfitri ini.

Album itu mengandungi lima lagu berkonsepkan ‘World Music’, elemen R&B dan irama asli serta keroncong.

Kata Zainal, sebagai penyanyi, dia tidak mahu Nadeera memberi hanya khayalan kepada pendengar, sebaliknya memberi kebaikan dalam muzik.

Mengenai aktiviti puasa, Zainal dan Nadeera banyak habiskan masa di studio menyiapkan bahan untuk album dan ke majlis ilmu di surau serta masjid berhampiran.

Kata Zainal, seperti tahun sebelum ini dia banyak luang­kan masa bersama golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim dan orang susah, dan kali ini mahu membawa Nadeera turut serta.

“Kebetulan saya juga beri tazkirah di surau dan masjid berhampiran, jadi saya juga akan bawa Nadeera bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:11 AM