Agensi

Madrid: Polis Sepanyol merampas 200 kilogram kokain yang disembunyikan dalam nanas yang tiba dengan kapal dari Amerika Tengah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya semalam, Kementerian Dalam Negeri berkata, buah berisi dadah itu ditemui dalam bebera[a kontena berisi nanas yang tiba di pelabuhan Algeciras, antara pelabuhan paling sibuk di Eropah, beberapa hari lalu.

“Antara ribuan nanas dalam kontena berkenaan, pegawai menemui buah yang isinya sudah dikorek dan diisi dengan dadah. Ia kemudian ditutup menggunakan gam yang sama warna dengan kulit nanas,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, nanas berkenaan tiba dari negara di Amerika Tengah dan dialamatkan kepada dua syarikat, satu berpusat di Madrid dan satu di Sant Quirze del Valles, berhampiran Barcelona.

Kedua-dua syarikat berkenaan dikatakan milik warga Sepanyol keturunan Colombia.

Polis menahan tiga orang untuk disoal siasat dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat.

Tahun lalu, polis di Algeciras merampas 2.5 tan kokain tersembunyi dalam kontena nanas yang tiba dari Costa Rica, antara rampasan terbesar dadah pernah dilakukan di Sepanyol

Hubungan rapat Sepanyol dengan bekas tanah jajahannya di Amerika Latin menjadikannya pintu masuk utama penyeludupan kokain dari benua itu ke Eropah.

Penyeludup menggunakan pelbagai cara dalam kegiatan mereka, termasuk menyembunyikan dadah itu dalam implan payu dara, acuan plaster seorang lelaki yang patah kaki, rambut palsu dan juga dalam set pinggan mangkuk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 9:13 AM