Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju hartanah terkemuka meraih tiga anugerah berprestij untuk kategori perumahan dan komersial, Anugerah Hartanah Asia Pasifik (APPA) 2015 bagi mengiktiraf pencapaian tertinggi syarikat yang beroperasi dalam sektor dan industri hartanah.

LBS yang berjaya memenangi anugerah tertinggi bagi kategori perbandaran Bandar Saujana Putra (BSP) sudah memenangi 5 bintang bagi Pembangunan Pemasaran Malaysia manakala Barrington Homes mendapat 5 bintang bagi Pembangunan Seni Bina Kediaman Tunggal.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Lim Hock San berkata, pihaknya amat bangga dengan pencapaian tiga tahun berturut-turut oleh APPA kerana ia menunjukkan LBS berada di landasan yang betul selain mencapai matlamat menjadi pemaju hartanah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, BSP21 juga mendapat pujian bagi Apartmen Malaysia. BSP21 terdiri daripada 10 blok kediaman perkhidmatan yang terletak di Bandar Saujana Putra.

“Pembangunan ini direka khas untuk golongan bujang dan keluarga muda,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Anugerah berkenaan dinilai oleh golongan profesional daripada bidang hartanah dan antara kriteria penilaian termasuk lokasi pembangunan, konsep dan penyelesaian, keselamatan, kelestarian, inovasi dan juga aspek pemasaran.

Menurutnya, projek itu adalah pembangunan kediaman tinggi pertama LBS yang menggabungkan pelbagai kemudahan untuk gaya hidup bagi mencapai kehidupan perbandaran seimbang dan aktif di mana sebanyak 70 kemudahan telah dirancang mengikut zon sukan serta ketenangan minda.

Anugerah anjuran International Property Awards membabitkan rantau lain termasuk Afrika, Amerika, United Kingdom, Eropah dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:04 AM