Oleh Irfan Khairi

Istilah barat berbunyi 'Do not judge a book by its cover' bermaksud tidak menilai sesuatu buku itu hanya berdasarkan kulit buku itu saja. Kulit buku yang cantik dan menarik perhatian, tidak semestinya mempunyai isi kandungan yang baik. Begitu juga dengan kulit buku yang tidak menarik tidak menjanjikan isi kandungan yang tidak menarik. Mana tahu, ia penuh dengan isi kandungan yang amat hebat!

Namun begitu, sudah kelaziman manusia melihat pada yang zahir. Apa yang kelihatan cantik, dikaitkan dengan yang baik. Apa yang dilihat kurang cantik, terasa kurang baik pula. Maksud ini juga boleh dibawa kepada cara pemakaian seseorang.

Bayangkan keadaan sewaktu temuduga kerja. Seseorang yang berpakaian segak, berkot dan bertali leher dengan rambut disikat rapi dan segalanya kelihatan terurus tentunya memberi tanggapan pertama yang baik kepada majikan. Berbanding sekiranya seseorang itu berpakaian lusuh, berbaju-T dan rambut yang tidak terurus masuk ke bilik temu duga.

Bukan hendak beranggapan mereka yang berpakaian ringkas itu tidak mempunyai ilmu atau bakat. Mungkin kebolehannya lebih hebat berbanding dengan pemohon yang segak bergaya. Cuma, tanggapan pertama akan meletakkan dirinya dalam keadaan yang kurang baik berbanding si segak tampan bergaya.

Dalam kejayaan dan kewangan, penampilan memainkan peranan penting. Tidak bermaksud perlu memakai pakaian berjenama hebat dan berharga ribuan ringgit. Memadai berpenampilan kemas yang akan memberi impak kepada orang sekeliling.

Sebagai contoh, seorang jurujual yang berpakaian kemas dan segak pasti memberi gambaran kredibiliti kepada prospek dan pembeli. Kredibiliti terbabit memberi jalan yang lebih mudah untuk mendekatkan diri kepada prospek untuk memperoleh jualan.

Dalam dunia perniagaan, penampilan diri amat penting dalam memberi tanggapan kejayaan kepada orang ramai. Namun, ia juga bergantung kepada industri masing-masing. Mereka yang berada dalam industri kreatif seperti pemuzik, pelukis atau penari tidak sesuai menggayakan kot bertali leher. Begitu juga dengan usahawan muda kini yang menjalankan bisnes lebih cenderung memakai baju-T dan berseluar jean ketika bekerja.

Bilionair barat seperti Richard Branson dan mendiang Steve Jobs sering mengenakan baju-T dan seluar jean ketika berucap walaupun di majlis rasmi. Berbeza dengan bilionair Donald Trump atau Orpah Winfrey yang sering berpenampilan profesional dan lebih formal.

Pengajarannya, ia bergantung kepada keadaan dan sasaran pasaran anda. Richard Branson dan Steve Jobs lebih cuba mendekati muda-mudi manakala Donald Trump dan Oprah Winfrey lebih cenderung mendekati golongan profesional.

Memakai pakaian yang menarik bukan saja memberi impak kepada orang di sekeliling dengan memberi tanggapan yang lebih baik dan kredibiliti awal. Tetapi, ia juga dapat membantu dalam meningkatkan keyakinan diri sendiri.

Mungkin kita pernah berasa keyakinan bertambah apabila memakai jenis pakaian tertentu. Fikirkan mengapa keadaan ini terjadi-mungin satu ketika seseorang pernah memuji pemakaian kita, "Eh, cantik baju tu! Beli di mana?" membuatkan kita terasa lebih yakin setiap kali memakai pakaian terbabit.

Pakar perunding imej sering mengaitkan cara pemakaian dengan keyakinan diri. Sekiranya memakai selekeh, kita pun rasa selekeh. Sekiranya memakai kemas, terasa lebih profesional dan produktif.

Buka almari pakaian anda dan lihat pakaian yang anda miliki. Adakah kandungan almari pakaian anda memerlukan sedikit naik taraf?

Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!

Soalan pembaca:

Salam Irfan Khairi,

Saya tahu penampilan amat penting dalam perniagaan. Tetapi, saya lebih yakin memakai pakaian ringkas dan janggal memakai pakaian rasmi seperti kot, slack atau kemeja bertali leher apabila berjumpa dengan prospek. Apa yang harus saya lakukan?

Khairy Lokman,

Cheras, Kuala Lumpur.

Apa yang penting apabila berjumpa prospek atau pelanggan buat pertama kali adalah membina kredibiliti sebelum kita membuka mulut. Kata pakar komunikasi, komunikasi bermula dengan cara pemakaian kita.

Berpakaian rasmi tidak semestinya sehingga berkot dan bertali leher tambahan pula di zaman ini yang mana pelbagai fesyen boleh dikenakan untuk memberi kredibiliti.

Saya sendiri jarang memakai kot bertali leher pada acara rasmi kerana tidak biasa dengan pakaian sebegitu. Memang janggal jika kita tidak biasa melakukan sesuatu.

Apa kata anda layari Internet dan melihat jenis fesyen yang masih kelihatan profesional dan segak, tetapi anda sendiri yakin dan selesa mengenakannya.

Jangan pula sehingga memaksa diri memakai pakaian yang kita sendiri rasa tidak selesa kerana ia akan memberi impak pada diri sendiri.

Sekiranya pakaian yang lebih formal tidak menarik minat anda, cuba gayakan fesyen separa kasual yang mungkin lebih selesa untuk anda berjumpa dengan prospek dan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:01 AM