PENAMPILAN diri antara perkara pertama dinilai penemuduga
PENAMPILAN diri antara perkara pertama dinilai penemuduga
Muhamaad Razis Ismail

PENAMPILAN diri memainkan peranan penting terutama membabitkan individu yang tidak dikenali ketika menghadiri sesi temu duga.

Penemuduga akan membuat tanggapan awal berdasarkan pelbagai aspek termasuk jenis pakaian, warna dan kekemasan rambut untuk menentukan keperibadian individu yang ditemu duga.

Biarpun nampak remeh, sebenarnya ia adalah elemen penting dan yang terawal dinilai.

Sama ada ia dilakukan secara bersemuka atau dalam talian berikutan penularan pandemik Covid-19, penampilan diri adalah sangat penting dan perlu dititikberatkan.

Perunding imej profesional, Nurul Atikah Noor Halim, 34 berkata, menurut kajian di Amerika Syarikat, 53 peratus orang menilai orang lain dari sudut visual.

Katanya, malah terdapat artikel yang menyatakan, seseorang itu hanya mempunyai tujuh saat untuk memberi tanggapan awal kepada orang lain.

"Dalam tempoh yang singkat kaedah terbaik dan paling berkesan untuk memberi tanggapan awal yang positif kepada penemuduga adalah menerusi penampilan diri.

"Oleh itu, pemilihan jenis pakaian dan warna sesuai serta kekemasan diri memainkan peranan penting ketika menghadiri sesi temu duga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan peluang pekerjaan yang semakin terhad, seseorang itu perlu lakukan sesuatu kelainan untuk menarik perhatian penemuduga menerusi penampilan diri.

"Ia adalah perkara yang mudah untuk dilakukan kerana kita mempunyai masa untuk buat persediaan untuk tampil menarik dan profesional dengan betul.

"Imej ini bukan sahaja membabitkan penampilan semata-mata, ia juga berkait rapat dengan sikap, cara kita berkomunikasi dan bagaimana kita di dalam media sosial

"Pastikan anda nampak profesional, bersih dan kemas serta gunakan warna yang sesuai," katanya.

Nurul Atikah berkongsi beberapa tip ringkas untuk tampil menarik dan profesional ketika sesi temu duga yang dibahagikan kepada tiga bahagian:

PAKAIAN yang sesuai untuk wanita
PAKAIAN yang sesuai untuk wanita

TIGA bahagian yang perlu diambil kira untuk sesi temu duga
TIGA bahagian yang perlu diambil kira untuk sesi temu duga

1. Bahagian 1 ( dari dada hingga kepala)

- Pastikan anda sentiasa bersih dan kemas.

- Wanita yang berhijab perlu memakai tudung bergosok dan tidak berbau serta tidak menutup muka. Gunakan solekan nipis untuk nampak lebih menarik dan segar,

- Untuk lelaki pastikan potongan rambut kemas, disikat dan tiada kelemumur. Pastikan misai atau jambang dicukur untuk nampak kemas di bahagian muka.

PAKAIAN untuk lelaki
PAKAIAN untuk lelaki

2. Bahagian 2 (Tengah)

- Gunakan pakaian yang hanya memiliki kombinasi tiga warna iaitu 60 peratus warna neutral dan 40 peratus warna fesyen.

- Lelaki pastikan pakai kemeja dan kot. Gunakan kot berwarna gelap yang dipadankan dengan kemeja berwarna lembut dan memakai tali leher gelap.

- Pakai seluar berkain licin (slack) berwarna gelap dan mesti memakai tali pinggang.

- Untuk wanita elakkan pakaian jenis 'one piece' kerana ia bukan kategori profesional.

KASUT yang sesuai
KASUT yang sesuai

3. Bahagian 3 (Bawah)

- Untuk wanita pakai stoking mengikut warna kulit dan untuk lelaki seboleh-bolehnya gunakan stoking berwarna gelap yang sama dengan warna seluar. Elakkan stoking berwarna cerah dan putih.

- Pemilihan kasut juga mainkan peranan penting. Gunakan kasut yang bertutup di bahagian depan dan belakang. Selain itu pastikan tumit dan tapak kasut terpisah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 6:45 AM