Anggota Forensik PDRM membalut pedang samurai yang ditinggalkan penjenayah. FOTO Owee Ah Chun.
Anggota Forensik PDRM membalut pedang samurai yang ditinggalkan penjenayah. FOTO Owee Ah Chun.
Oleh Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi menempuh detik mencemaskan apabila diacu pedang samurai dan diikat kaki serta tangan oleh lima penjenayah yang menceroboh banglo keluarganya di Taman Permai, Demit, Kubang Kerian, di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku pada 11.20 pagi ketika remaja lelaki berusia 19 tahun itu bersendirian dalam bilik tidurnya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, akibat kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM5,000.

"Kita sedang mengenal pasti lagi apa yang hilang dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kegiatan jenayah itu dipercayai dilakukan lima lelaki dengan seorang daripadanya bersenjatakan pedang samurai yang digunakan untuk menakutkan mangsa. Sebelum itu mangsa juga diikat tangan dan kaki dengan kain.

"Suspek kemudian mengeledah rumah mangsa dan melarikan diri menggunakan pacuan empat roda jenis Pajero. Pedang samurai digunakan ditemui di dalam longkang kecil di kawasan rumah," katanya, di sini, hari ini.

Rohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi balai polis terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 6:29 PM