Oleh Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Seorang doktor lelaki terpaksa menerima lima jahitan di belakang kepala dan lebam di muka selepas dicederakan dua lelaki yang menyamun rumahnya di Kubang Kerian, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 3 pagi ketika mangsa berusia 34 tahun, isterinya 31 tahun dan dua anak mereka berusia lima dan empat tahun sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, mangsa dikejutkan daripada tidur oleh dua lelaki terbabit yang bersenjatakan parang dan alat menyerupai pistol.

"Ketika dikejutkan, mangsa cuba menendang mereka dan berlaku pergelutan sebelum mangsa dipukul di belakang kepala dan ditumbuk selain tangan diikat, manakala mukanya ditutup.

"Isteri dan anak mangsa yang terjaga selepas bunyi bising tidak dicederakan. Namun suspek sempat merentap rantai leher dan gelang emas dipakai isteri mangsa.

"Suspek juga melarikan tiga telefon bimbit pintar, dua kereta jenis Mitsubishi Lancer dan Honda City selain wang tunai dan dompet serta beg tangan mengandungi pelbagai dokumen," katanya.

Rohaimi berkata, mangsa sekeluarga berjalan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.

Katanya, usaha memburu suspek giat dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 4:37 PM