Oleh Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Kes berkaitan tiga kanak-kanak yang cuba dilarikan sejak Sabtu lalu selesai selepas tertangkapnya suspek lelaki berusia 29 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan mendapati kes itu tiada kaitan dengan sindiket penculikan, malah tiada kena mengena dengan insiden culik sebelum ini.

"Kes selesai selepas suspek berusia 29 tahun ditahan kelmarin dan dia disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini tiada unsur yang boleh kita kaitkan dengan sindiket penculikan," katanya dalam sidang media selepas perasmian Pusat Gimnasium dan Kecergasan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Akhbar semalam melaporkan tiga kanak-kanak berusia antara sembilan dan 13 tahun nyaris diculik selepas mengikut lelaki yang mengumpan mereka dengan bersiar-siar menaiki kereta.

Dua kanak-kanak dilarikan kira-kira 11 malam Sabtu di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV manakala seorang lagi di kawasan Flat Jalan Bayam.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, ibu bapa serta ahli keluarga ketiga-tiga kanak-kanak itu akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung kecuaian penjagaan anak mereka.

Beliau berkata, penjaga kanak-kanak itu boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2011 jika didapati cuai hingga menyebabkan anak mereka terdedah risiko dilarikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 11:55 AM