Bas kilang yang terbabit kemalangan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Bas kilang yang terbabit kemalangan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Alor Gajah: Seorang operator pengeluaran wanita cedera di muka dan patah tangan kiri selepas bas pekerja yang dinaikinya hilang kawalan lalu merempuh belakang lori muatan kertas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser, di Jalan Londang, Tanjung Bidara, Alor Gajah, Melaka, 8.30 malam tadi,

Sarifah Mat Ausoh, 47, satu-satunya pekerja kilang yang berada di dalam dalam bas terbabit kini dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Melaka.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku sebaik bas dipandu seorang lelaki berusia awal 70-an tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh bahagian kanan belakang lori muatan kotak yang di parkir di bahu jalan, sebelum melanggar belakang Toyota Unser yang turut di parkir di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada pemandu bas yang gagal mengawal kenderaannya, manakala dua kenderaan yang dilanggar pula diletakkan di bahu jalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 4:37 PM