LEDANG: Polis menahan tiga perompak selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh tiang elektrik gara-gara panik melihat sekatan jalan raya di Jalan Sagil-Segamat di sini pada 13 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohamad Salleh Abd Razak berkata, dalam kejadian pada 1.45 petang itu, kereta dinaiki tiga lelaki itu cuba berpatah balik namun terbabas dan melanggar tiang elektrik.

"Ketika itu mereka baru sahaja merompak keluarga di Kampung Serom 3, Sungai Mati di sini dan cuba melarikan diri ke arah Segamat.

"Ketika melihat sekatan jalan raya kenderaan itu cuba berpatah balik namun terbabas dan melanggar tiang elektrik," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohamad Salleh berkata, ketiga-tiga perompak berumur antara 33 dan 34 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan tetapi seorang daripada mereka cuba melarikan diri namun ditahan.

Katanya, siasatan polis dalam kenderaan itu menemui dua parang, tiga kuku kambing, tiga telefon bimbit, tiga penutup muka, enam pasang sarung tangan, tiga topi, dua pemutar skru dan wang tunai RM1,300.

Menurutnya polis kini sedang memburu seorang lagi rakan mereka yang melepaskan diri dengan kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 6:10 PM