SYAKILLA (kiri) merupakan harapan negara gondol emas. -Foto YAZIT RAZALI
SYAKILLA (kiri) merupakan harapan negara gondol emas. -Foto YAZIT RAZALI
Saiful Affendy Sapran


KONSEP latihan ‘ala komunis’ yang diterap ketua jurulatih Andris Vasiljevs diharap membolehkan skuad karate-do negara memenuhi sasaran meraih enam pingat emas.

Sejak membimbing skuad negara lima tahun lalu, jurulatih dari Latvia menerapkan konsep latihan keras yang memberi impak besar kepada barisan atlet negara.

Pengurus pasukan karate-do Malaysia, Nik Ismail Rashed Che Ali, berkata pihaknya meletakkan kepercayaan kepada Vasiljevs untuk memenuhi sasaran pingat.

“Konsep latihannya sangat keras seperti ‘komunis’.

“Harap dengan pendekatan ini akan memberi impak besar kepada atlet negara,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Karate tidak pernah mengecewakan kontinjen negara dengan kali terakhir pada Sukan SEA Myanmar 2013, Vasiljevs yang baru setahun membimbing skuad negara berjaya membantu Malaysia muncul juara keseluruhan dengan tujuh pingat emas.

Sukan itu tidak dipertandingkan dua tahun lalu di Singapura.

Nik Ismail berkata, antara atlet yang diharap mampu menghadirkan pingat emas ialah Syakilla Salni Jefry Krisnan untuk acara kumite dan Lim Chee Wei bagi acara kata.

“Bagi edisi Sukan SEA kali ini, rata-rata barisan atlet adalah muka baru. Syakilla adalah pemenang pingat emas di Sukan Asia di Incheon.

“Chee Wei juga pemenang pingat emas di Incheon. Kedua-dua atlet ini adalah harapan besar kita untuk memenangi pingat.

“Apapun barisan atlet lain juga berpotensi besar untuk memenangi pingat emas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 7:01 PM