Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Tiga mayat mangsa nahas kapal korek terbalik di Kota Tinggi Rabu lalu, ditemui berhampiran pintu kapal berkenaan selepas pasukan penyelam berjaya membukanya, pagi tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan kira-kira 6.30 pagi tadi membawa kepada penemuan tiga mayat itu selepas pasukan penyelam persendirian bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Handalan mula menyelam pada 7.35 pagi.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, mayat yang dijumpai pada 8 pagi itu berada berhampiran pintu kapal korek berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, mayat mangsa itu masih berada di dalam kapal kerana mengalami masalah untuk dibawa naik.

"Ketiga-tiga mayat itu nanti akan dibawa ke Jetu Marina Tanjung Pengelih dekat sini, untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 10:29 AM