ANGGOTA polis memeriksa keadaan mayat mangsa yang ditemui.
ANGGOTA polis memeriksa keadaan mayat mangsa yang ditemui.

Johor Bahru: Mayat seorang kru kapal korek Ocean Line SC208 yang gagal dibawa keluar dari badan kapal terbabit oleh pasukan penyelam kelmarin, berjaya dinaikkan ke darat kira-kira jam 11.15 pagi semalam.

Mayat lelaki warga China yang ditemui berhampiran pintu kapal korek terbabit, tidak dapat dibawa naik akibat arus laut yang deras dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditangguhkan sebelum disambung semula jam 7 pagi semalam.

Mayat seorang lagi kru yang turut dijumpai di lokasi sama kira-kira jam 8 pagi kelmarin, bagaimanapun terlebih dulu berjaya dibawa naik jam 5.35 petang kelmarin.

Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Jeti Marina, Tanjung Pengelih, dekat sini, untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, operasi SAR yang masuk hari keenam semalam, masih belum menemui baki 10 mangsa nahas yang lain.

“Setakat ini, jumlah mayat mangsa yang baru dijumpai masih empat mangsa dan SAR diteruskan bagi mengesan mangsa yang hilang.

“Hari ini (semalam), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menurunkan tiga penyelam, manakala 15 penyelam daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tujuh penyelam Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor,” katanya.

Mustafa Kamal berkata, operasi SAR semalam ditangguhkan jam 7.30 malam dan disambung semula hari ini bermula jam 7 pagi dengan menumpukan operasi menyelam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:53 AM