DR Abu Bakar (tengah) pada pembukaan pejabat baru Qiagen Biotechnology Malaysia.
DR Abu Bakar (tengah) pada pembukaan pejabat baru Qiagen Biotechnology Malaysia.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan peningkatan kadar pengkomersialan inovasi tempatan kepada 15 peratus menjelang 2020 berbanding sembilan peratus pada masa ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, sasaran itu adalah selaras matlamat kerajaan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kami turut menyasarkan untuk mengkomersialkan 60 produk berimpak tinggi pada setiap tahun bagi memastikan sasaran untuk mencapai jumlah keseluruhan sebanyak 360 produk tercapai dalam tempoh masa sama,” katanya pada pembukaan pejabat baru Qiagen Biotechnology Malaysia Sdn Bhd di sini, semalam.

Beliau berkata, Mosti sudah memperuntukkan geran berjumlah RM9.06 juta sehingga 31 Mac lalu di bawah Rancangan Malaysia ke 10 2011-2015 dengan membabitkan kelulusan sebanyak 1,732 projek.

Produk berimpak tinggi adalah membabitkan produk elektrikal dan bioteknologi yang memberi impak baik kepada pengguna tempatan dan antarabangsa.

“Kami akan terus menawarkan geran kepada syarikat yang menghasilkan produk berinovasi melalui tiga dana sedia ada iaitu Dana Sains MOSTI (ScFund), Dana Inovasi (InoFund) dan Dana Teknologi (TeknoFund) dan dana tambahan bagi projek yang berdaya saing tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abu Bakar berkata, MOSTI berhasrat untuk mewujudkan budaya inovasi dengan lebih menghargai produk inovasi tempatan.

“Secara umumnya, rakyat Malaysia memang memiliki kreativiti dan mampu menghasilkan produk inovasi, namun ia tidak dihargai serta mendapat sambutan daripada pengguna di sini.

“Oleh sebab itu, kebanyakan bakat mahir tempatan pergi ke luar negara untuk mempromosikan produk mereka yang lebih dihargai negara luar. Kita perlu ubah sikap ini dan syarikat tempatan perlu mempromosikan produk berimpak tinggi ciptaan bakat tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 6:52 AM