Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan RM50 juta di bawah dasar pembelian balik yang baru dilaksana tahun ini bagi menggalakkan peserta industri tempatan menghasilkan produk inovatif.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, di bawah polisi berkenaan, MOSTI akan memberi geran kepada pencipta inovasi terpilih dan membeli produk dihasilkan sebelum diagih kepada jabatan berkaitan untuk diuji keberkesanannya dan dipasarkan sekiranya mempunyai potensi baik.

“Di bawah skim ini, kementerian akan membeli produk yang sudah disiapkan dan menyerahkannya kepada jabatan berkaitan untuk diuji sebelum dipasarkan secara komersial,” katanya.

Menurutnya, kementerian juga akan mengeluarkan dana bagi membantu usaha itu di peringkat permulaan dan membuat penambahan sewajarnya sekiranya perlu.

“Peruntukan sebanyak RM50 juta ini adalah sebagai permulaan. Sekiranya sambutan diterima bagus, kita akan minta kerajaan membuat penambahan dana dengan sasaran RM500 juta menjelang 2020,” katanya selepas merasmikan Seminar Jaringan kerja Industri Biomass Malaysia 2015, di sini semalam.

Menurutnya, berkaitan projek biomass, Dr Abu Bakar berkata, setakat ini MOSTI membiayai 15 projek dengan anggaran nilai keseluruhan RM3.5 juta.

“Angka itu amat rendah dan MOSTI menyasarkan untuk menambah 50 projek baru menjelang akhir tahun ini. Kita kekurangan permohonan pembiayaan projek dalam industri biomass ini, jadi kita menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 50 permohonan baru untuk tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 7:34 AM