Walaupun Salman Khan dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah dalam kemalangan langgar lari pada 2002, tetapi peminat terus memujanya.

Sokongan mereka terhadapnya tidak pernah berkurangan malah sanggup berkorban apa saja untuknya.

Dalam perasaan yang cukup terharu, Salman berasakan dia tidak layak untuk menerima sebegitu banyak perhatian dan kasih sayang daripada peminat.

Salman kini berada di Kashmir bagi menyiapkan penggambaran filem terbarunya, Bajrangi Bhaijaan arahan Kabir Khan yang turut dilakonkan Kareena Kapoor.

Setibanya di hotel pe­nginapannya di Sonamarg, semua mata tertumpu padanya. Walaupun dia kelihatan penat namun dia tetap melayan peminat dengan baik, mesra dan ramah.

“Kita memang bodoh suka sangat pergi ke Switzerland untuk buat filem sedangkan Kashmir adalah tempat paling indah di planet ini,” kata Salman.

Sewaktu diajukan pertanyaan mengenai hukuman penjaranya, jelas Salman, masalahnya kecil saja berbanding tragedi yang sedang melanda dunia.

“Sebab itu saya rasa tak layak untuk mendapat perhatian yang begitu banyak daripada peminat. Saya ‘berhutang’ kasih sayang dengan anda semua,” katanya lagi.

Salman yang mengambil keluarga angkat di Kashmir berjanji akan menjadi orang yang lebih baik dan akan terus melakukan kerja kebajikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 9:09 AM