Agensi

Jodhpur: Sebuah mahkamah di sini semalam membebaskan bintang Bollywood, Salman Khan (gambar) daripada tuduhan menggunakan senjata api tanpa lesen untuk membunuh haiwan liar yang dilindungi hampir 20 tahun lalu.

Salman, 51, dibebaskan dari tiga daripada empat tuduhan yang dihadapinya kerana memburu rusa tempatan ketika menjalani penggambaran di Rajashtan, negeri di barat laut India pada 1998.

Dia hadir di mahkamah semalam untuk mendengar keputusan perbicaraan sementara ratusan anggota polis mengawal orang ramai yang berkumpul di luar.

Peguam Salman, Hastimal Saraswat memberitahu wartawan, pelakon itu dibebaskan kerana kurang bukti.

Pendakwa raya, BS Bhati berkata, pihaknya akan merayu keputusan berkenaan selepas meneliti dokumen 102 muka berkenaan.

Salman masih berdepan tuduhan keempat - memburu rusa yang dilindungi.

Pelakon itu, antara nama besar dalam industri perfileman di India sudah membintangi lebih 100 filem.

Filemnya tahun lalu, ‘Sultan,’ mencatat rekod pecah panggung Bollywood.

Salman bukan asing kepada kontroversi. Pada 2015, dia dibebaskan daripada satu tuduhan langgar lari yang menyebabkan seorang gelandangan terbunuh.

Keputusan itu kini dicabar di Mahkamah Agung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 8:46 AM