PENGALAMAN berharga penulis (dua dari kiri) bersama keluarga dan rakan menunggang kuda di Pahalgam.
PENGALAMAN berharga penulis (dua dari kiri) bersama keluarga dan rakan menunggang kuda di Pahalgam.
Felicia Farida Ramzi


KASHMIR, wilayah di utara India dan bersempadan dengan Pakistan yang dianugerahkan keindahan landskap bergunung-ganang menakjubkan selain pelbagai lokasi menarik untuk dikunjungi.

Jadi tidak hairanlah, biarpun masih 'bergolak', Kashmir tetap menjadi destinasi pilihan pelancong.

Keindahan Kashmir yang turut mendapat jolokan syurga dunia sudah cukup memukau yang sebelum ini penulis hanya melihatnya di media sosial.

Menonton filem kegemaran, Bajrangi Bhaijaan yang menjalani penggambaran di wilayah itu, membuatkan penulis menyimpan hasrat untuk membawa anak bermain salji di sana.

Memandangkan pakej yang ditawarkan berpatutan, pada 22 Februari lalu, penulis dapat merealisasikan impian meneroka keindahan wilayah itu bersama ibu dan rakannya serta dua anak.

Sebelum itu, pelbagai persediaan rapi dilakukan termasuk menyediakan pakaian musim sejuk, kasut, ubat-ubatan dan mi segera. Selain itu, persediaan e-visa juga perlu dan ini diuruskan ejen pelancongan di Malaysia.

Tukaran wang dibuat dua minggu lebih awal dengan menyediakan wang Rs50 (RM2.75) dan Rs100 (RM5.50) yang banyak kerana di Kashmir memerlukan anda memberi tip hampir sepanjang masa.

Kami memulakan perjalanan pada 22 Februari lalu jam 7.25 malam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi pada 10.25 malam. Perbezaan masa antara India dan Malaysia adalah dua setengah jam.

MENAIKI bot di Dal Lake, Srinagar.
MENAIKI bot di Dal Lake, Srinagar.

Bagi yang pertama kali ke India, pasti akan terkejut apabila terpaksa berdepan dengan urusan daftar masuk membabitkan pihak imigresen dan kastam agak ketat serta meletihkan. Banyak prosedur yang perlu diikuti. Penulis dan keluarga mengambil masa hampir dua jam untuk menyelesaikan urusan di lapangan terbang itu.

Selepas mendapatkan bagasi, kami teruskan pula daftar masuk untuk penerbangan domestik ke Srinagar (nama lapangan terbang di Kashmir).

Pada hari kedua di Kashmir, penulis hanya bersiar-siar di bandar Srinagar termasuk ke Botanical Garden, Hari Prabat Fort dan makan tengah hari di Muneer Restaurant. Keesokan hari, kami ke Sonamarg iaitu tempat Salman Khan berlakon dalam filem Bajrangi Bhaijaan

Hari berikutnya, kami menuju ke Pahalgam. Dalam perjalanan, kami singgah di 'walnut field' (tapi tiada pokoknya kerana musim sejuk) dan di Papa Apple Juice untuk menikmati jus epal segar yang sangat sedap kerana diperah menggunakan mesin khas di hadapan pelanggan.

Di Pahalgam, kami berpeluang menunggang kuda sehingga ke puncak yang dikenali sebagai 'Mini Swiss.' Perjalanan naik mengambil masa lebih satu jam dengan disajikan pemandangan indah sepanjang perjalanan. Kami juga sempat mengunjungi Masjid Aishmuqam Dargah yang juga menjadi lokasi penggambaran lakonan Bajrangi Bhaijaan.

Pada hari kelima kami menuju ke Gulmarg membabitkan perjalanan yang sangat jauh. Sebaik tiba, kami bersiar-siar di sekitar bandar dan singgah di kedai pakaian membeli-belah baju Kashmiri dan rantai kunci sebagai buah tangan.

Di sini, kami mencuba pencuci mulut seviyen yang sangat sedap. Seviyan dimasak menggunakan susu, mi halus (yang dinamakan seviyan), dicampur bersama kekacang, kelapa tua yang dijadikan kepingan kecil dan dimasak sehingga susu menggelegak. Kemudian campur gula secukup rasa.

Di sini pergerakan kami dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain sangat mudah kerana agensi menyediakan kenderaan dan pemandu untuk kami. Namun sepanjang perjalanan terdapat banyak sekatan yang dikawal askar serta kenderaan akan dihentikan untuk semakan dokumen.

Selain itu, anda perlu bersedia setiap kali mendaftar masuk dan mendaftar keluar hotel, ada sahaja orang Kashmir yang mahu membantu mengangkat beg. Sila bertegas sekiranya tidak mahu kerana tujuan mereka berebut membawa beg adalah untuk minta tip biarpun jarak pintu hotel ke kereta tidak jauh. Sepanjang berada di sini, penulis rasa duit banyak habis pada tip saja.

Keesokan hari, penulis bersama keluarga ke gunung salji di Gulmarg dengan menaiki gondola. Di sana, pelbagai aktiviti boleh dilakukan termasuk bermain ski, menaiki kereta salji dan kereta longsor. Semua ini ada cajnya dan perlu pandai tawar-menawar sehingga mendapat harga yang sewajarnya. Jika menggunakan kasut jenis kain, penulis sarankan sewa but getah.

Apabila tiba di puncak, cubalah makan mi segera masala dan 'mutton pulao' dalam suasana salji lebat yang sedang turun. Ada baiknya bawalah alat pemanas badan kerana cuaca di sini sangat sejuk. Bawa juga ubat-ubatan yang sesuai sekiranya anda alah kepada ketinggian altitud. Lewat petang, kami meneruskan perjalanan kembali ke Srinagar untuk menginap di Houseboat, Dal Lake.

BERMAIN kereta longsor di Sonamarg.
BERMAIN kereta longsor di Sonamarg.

Secara jujur, penulis melihat penduduk Kashmir rata-ratanya baik belaka, menghormati tetamu yang datang dan mesra kanak-kanak. Namun, melalui pemerhatian penulis tidak nampak wanita bekerja sama ada di restoran, hotel atau kedai baju.

Pada hari ketujuh, kami hanya bersiar-siar menaiki bot di Dal Lake sebelum menaiki pesawat domestik ke New Delhi. Di New Delhi, kawasan hotel berdekatan pasar besar sepanjang tiga kilometer. Di sini banyak barangan menarik yang boleh dibeli sebagai buah tangan seperti baju Punjabi, beg, dan kain.

Hari terakhir di India diisi dengan aktiviti bersiar-siar di kawasan pasar New Delhi dan berehat di hotel sebelum bergerak menuju ke Lapangan Terbang Indira Gandhi menantikan penerbangan kembali ke Kuala Lumpur pada jam 11.30 malam bersamaan 2 pagi waktu Malaysia. Kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 7.30 pagi.

Secara keseluruhan, tidak dinafikan pemandangan di pergunungan Kashmir sangat indah dan luar biasa tanpa mengira musim. Ia mengajar kita sebagai musafir untuk berterima kasih dengan kehidupan yang kita ada, betapa kerdilnya kita di muka bumi ini.

Jika diberi peluang, penulis berhasrat ke wilayah ini lagi pada musim panas kerana buah sangat lebat, warna sungai kebiruan dan pergunungan bertukar warna kehijauan. Cuaca juga tidak ekstrem iaitu sekitar 25 darjah Celsius sahaja. Pada ketika ini, pengunjung boleh memilih pakej bermalam di pergunungan dan juga boleh lajak sehingga Ladakh iaitu perjalanan menaiki kereta yang ekstrem di lereng gunung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 7:00 AM