Kelana Jaya: Ketua jurulatih negara Dollah Salleh mengaku pelantikan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai pengurus Harimau Malaya memudahkan tugasnya mengendalikan skuad negara yang bakal memulakan usaha melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2019.

Hamidin yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilantik menggantikan Datu Sudarsono Osman yang meletakkan jawatan awal tahun ini.

“Saya senang berhubung dan berkomunikasi dengan beliau. Malah pagi tadi (semalam), beliau sudah memberikan taklimat mengenai apa yang diinginkan.

“Saya sendiri sudah lama bersamanya, sejak ketika bersama Selangor lagi. Jadi saya memahami kehendak dan kemahuannya, sekali gus memudahkan tugas saya.

“Malah saya juga senang berurusan dengan Sudarsono namun kekangan masa dihadapinya menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan,” jelas Dollah.

Hamidin yang juga penolong pengurus Harimau Malaya sememangnya terkenal dengan kemampuannya dalam memberikan motivasi kepada pasukan selain mempunyai hubungan rapat dengan pemain.

Hamidin akan melantik dua penolong pengurus termasuk seorang bekas pemain kebangsaan untuk membantunya.

“Saya tidak mempunyai masalah (melantik bekas pemain), ia keputusan pihak pengurusan. Saya lebih fokus kepada pasukan. Saya tidak mempunyai calon namun berharap beliau boleh bekerjasama dan saling membantu.

“Saya mahu kemenangan dan kekalahan sama-sama dipikul. Saya tidak mahu depan cakap lain, belakang cakap lain,” kata Dollah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:17 AM