SEBAIK perjanjian jual beli rumah ditandatangani bayaran deposit rumah perlu dilunaskan.
SEBAIK perjanjian jual beli rumah ditandatangani bayaran deposit rumah perlu dilunaskan.
PENYEDIAAN wang pendahuluan penting kerana ia dinilai sebagai bentuk komitmen dalam pembelian hartanah.
PENYEDIAAN wang pendahuluan penting kerana ia dinilai sebagai bentuk komitmen dalam pembelian hartanah.
Nurul Husna Mahmud


DALAM persiapan memiliki aset hartanah, deposit atau wang pendahuluan rumah antara yang terpenting dan perlu diberi perhatian.

Bagi Pengerusi Majlis Mentor Hartaguam Datuk Nazri Mustafa, penyediaan deposit dilihat sangat penting kerana ia dinilai sebagai satu bentuk komitmen dalam pembelian aset hartanah selain menggalakkan amalan menyimpan sebelum memiliki aset berkenaan khususnya rumah.

"Kemampuan menyediakan wang pendahuluan atau deposit dalam pembelian rumah sangat penting kerana ia menilai sejauh mana komitmen pembeli terhadap urus niaga itu.

"Ia penting dalam transaksi jualan rumah apabila penjual baik pemaju mahupun pemilik asal hartanah menilai penyediaan deposit oleh pembeli sebagai satu sesuatu tindakan serius.

"Dari sudut pembeli pula, keadaan itu turut membantu mereka kerana sesi rundingan atau tawar-menawar terutama bagi segmen rumah sekunder, apabila penjual atau pemilik asal lebih cenderung memberi penawaran lebih baik," katanya.

Kata Nazri penyediaan wang deposit juga boleh menjadi penanda aras terhadap kemampuan pemilik kediaman dalam mengurus kewangan mereka.

"Penyediaan wang deposit kira-kira 10 peratus daripada nilai rumah juga penanda aras kepada tahap kemampuan individu mengurus kewangan mereka.

"Sewajarnya mereka memiliki simpanan khas untuk pembelian rumah terutama yang meminati segmen rumah sekunder dan rumah lelong.

"Anda yang mahu membeli rumah akan menyimpan wang dan melakukan pelbagai penjimatan dalam memastikan deposit rumah dapat dikumpul.

RUMAH lelong juga memerlukan pembida menyediakan deposit untuk melayakan bidaan mereka.
RUMAH lelong juga memerlukan pembida menyediakan deposit untuk melayakan bidaan mereka.

"Secara tidak langsung pembelian rumah dengan menekankan penyediaan deposit mendidik individu terutama pembeli rumah pertama dilihat menyemai amalan menabung dan mengatur kewangan dengan lebih baik," katanya.

Kelebihan lain, kata pakar hartanah itu, pemilik rumah juga tidak dibelenggu dengan faedah bank tinggi bagi pembiayaan rumah.

"Dalam sistem 'zero' deposit yang diamalkan sebelum ini, pihak bank pastinya meletakkan kadar faedah tinggi berdasarkan kemungkinan risiko lebih tinggi perlu ditanggung mereka selain jumlah pembiayaan lebih besar.

"Lagi tinggi nilai pinjaman lagi panjang tempoh peminjam diikat dan bermakna ia memanfaatkan pihak bank berdasarkan kadar faedah yang diperoleh.

PEMBELIAN pertama berbeza nilainya pembelian ketiga.
PEMBELIAN pertama berbeza nilainya pembelian ketiga.

"Contohnya dalam situasi yang mana moratorium atau penangguhan pembayaran pinjaman ketika pandemik Covid-19, pemilik rumah terikat dengan tempoh pinjaman lebih panjang selain menyumbang peningkatan kepada kadar faedah perlu ditanggung mereka," katanya.

Amalan penyediaan deposit rumah juga diharap dapat membantu golongan muda membeli rumah dilelong.

"Saya juga menyedari pasaran rumah lelong kebelakangan ini juga banyak menawarkan rumah baru yang rata-ratanya dimiliki orang muda antara usia 26 hingga 35 tahun.

"Perkembangan ini tidak sihat terutama ia memperlihatkan ramai anak muda sudah terjebak dengan isu bankrap apabila hartanah mereka terpaksa dilelong bagi mengurangkan bebanan hutang," katanya.

SIMPANAN KWSP antara saluran penyediaan deposit pembelian rumah.
SIMPANAN KWSP antara saluran penyediaan deposit pembelian rumah.

Saranan Nazri sebaiknya bakal pemilik rumah perlu menyediakan tabungan khas untuk pembelian rumah selain menggunakan wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk penyediaan deposit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 6:30 AM