Orang ramai melihat pameran rumah daripada pemaju yang mengambil bahagian dalam pameran MyRumah 2019 yang diadakan di My Town Shopping Centre. FOTO / ZULFADHLI ZULKIFLI.
Orang ramai melihat pameran rumah daripada pemaju yang mengambil bahagian dalam pameran MyRumah 2019 yang diadakan di My Town Shopping Centre. FOTO / ZULFADHLI ZULKIFLI.
Sri Ayu Kartika Amri


Kesukaran memiliki kediaman menjadi isu utama pada masa ini terutama bagi golongan muda yang berdepan kekangan kewangan.

Penasihat Kewangan Ieza Yusof Consultancy Sdn Bhd dan Mentor pejuang hartanah, Azim Sulaiman berkata, terdapat tiga cabaran golongan muda dalam memiliki hartanah pertama mereka.

Katanya, antara tiga cabaran utama itu adalah golongan muda kebanyakan bergaji kecil, harga rumah semakin mahal dan tidak mempunyai simpanan dan deposit.

"Rata-rata anak muda yang baru bekerja mempunyai pendapatan yang kecil dan sukar untuk mereka membuat simpanan atau menyediakan deposit membeli rumah dan cara terbaik untuk keluar daripada masalah ini adalah dengan membuat kerja tambahan yang mampu menjana pendapatan sampingan.

"Memang diakui harga rumah sekarang agak tinggi, lebih-lebih lagi di kawasan bandar, namun kita masih mempunyai pilihan untuk membeli rumah sekunder (subsale) yang melepasi kelayakan serta kemampuan sendiri.

"Selain itu, paling penting golongan muda perlu mempunyai sikap menabung serta mempelbagaikan simpanan seperti di Tabung Haji dan pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang dapat memberi pulangan setiap tahun," katanya kepada media di siri pertama pameran MyRumah NSTP di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau hadir berkongsi ilmu mengenai Teknik Turbo Deposit 2.0 sempena Pameran Hartanah MyRumah 2019 yang berlangsung dari 7 hingga 10 Mac ini bertempat di Pusat Beli-Belah MyTown Cheras.

Azim berkata, untuk memulakan simpanan, individu perlu menyenaraikan empat perkara utama iaitu jumlah pendapatan, perbelanjaan, aset dan liabiliti masing-masing.

"Mereka yang mempunyai hasrat memiliki kediaman sendiri perlu meletakkan sasaran memulakan simpanan dalam tabung hartanah masing-masing.

"Senaraikan semuanya dan untuk menyediakan deposit rumah pula, kita boleh menggunakan tujuh teknik iaitu teknik pama (pinjaman daripada ibu bapa), teknik crowdfunding, teknik tin milo (tabungan), teknik ASB, teknik Tabung Haji dan teknik Turbo," katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila ikuti MyRumah 2019 di laman sosial Facebook iaitu www.facebook.com/MyRumahMPB atau emel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 6:05 PM