Aktor yang sedang mening­kat di Bollywood, Ali Fazal kecewa apabila dia tidak dapat meneruskan penggambaran filem Khamoshiyaan di Kashmir kerana wilayah itu dilanda banjir.

Pada September lalu, Jammu dan Kashmir dilanda banjir paling buruk dan kesan daripada itu, pihak produksi terpaksa mencari lokasi lain.

Ali amat teringin untuk melakukan penggambaran di Kashmir selepas dia mendengar cerita daripada bapanya yang pernah belajar di sana.

"Saya tidak sabar nak ke Kashmir untuk melihat sendiri keindahan wilayah itu dan seterusnya mengabadikannya dalam filem lakonan saya. Ibu bapa saya begitu seronok bercerita mengenai Kashmir. Semoga segala kemusnahan yang melanda wilayah itu akibat banjir dapat segera diperbaiki," katanya.

Khamoshiyaan adalah filem terbitan Vishesh Films, arahan Karan Dara.

Sebaik saja selesai menyambut Deepavali, Ali sibuk pula ke lokasi penggambaran filem terbarunya di Cape Town, Afrika Selatan yang turut dibintangi Sapna Pabbi dan Gurmeet Chaudhary.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:00 AM