Oleh Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Dua anggota polis adalah antara 38 individu yang ditahan, baru-baru ini, mengikut siasatan Seksyen 26 (A) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIP-SOM).

Selain dua anggota polis itu, tangkapan turut membabitkan ejen, ketua sindiket serta tekong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua tangkapan itu dilakukan antara Mac hingga April lalu membabitkan sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di utara Malaysia dan selatan Thailand.

“Mengenai isu pemerdagangan manusia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mematahkan tujuh sindiket dan menahan 38 individu yang terdiri daripada 21 warga Myanmar, 16 warga Malaysia dan seorang warga Indonesia antara Mac 2015 dan April 2015.

“PDRM dan Polis Diraja Thailand bekerjasama rapat untuk meningkatkan dan mengekalkan keselamatan sempadan bersama,” katanya dalam kenyataan media, di sini, sebentar tadi.

Kenyataan media itu dikeluarkan susulan pertemuan kepemimpinan polis dua negara berkaitan Kajian Jawatankuasa Bersama Jabatan Malaysia-Thailand ke-23 Berhubung Aktiviti Jenayah di Phuket dari 11 hingga 14 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:08 PM