Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Dua pegawai imigresen antara 19 individu ditahan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Lembah Klang pada 12 April hingga 6 Mei lalu kerana disyaki terbabit penyeludupan warganegara Sri Lanka menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, turut ditahan tujuh ejen masing-masing terdiri daripada tiga warganegara India dan Sri Lanka serta seorang warga tempatan.

"PDRM juga menahan tiga 'runner', lima migran warga Sri Lanka dan dua fasilitator menggunakan PMA dipalsukan untuk tujuan perjalanan ke Geneva, Switzerland," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket membeli PMA tulen dengan harga RM1,000 hingga RM2,500 setiap satu daripada warga India tempatan yang mempunyai mirip muka hampir sama dengan wajah migran warga Sri Lanka untuk dipalsukan.

Khalid memberitahu, semua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 7:35 PM