MASZELY menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM). FOTO ihsan Maszely Minhad
MASZELY menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM). FOTO ihsan Maszely Minhad
Amir Abd Hamid


“SAYA menganggap penganugerahan ini adalah pengiktirafan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

“Sudah pasti akan menjadi pembakar semangat untuk saya dan pasukan supaya lebih berusaha menjalankan tanggungjawab khususnya membanteras kegiatan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan orang,” kata Ketua Penolong Pengarah ATIPSOM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Maszely Minhad.

Hari ini beliau menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan sempena ulang tahun ke-80 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

Berkhidmat dengan PDRM sejak 1979, beliau juga pernah bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Unit Pencegahan Perjudian (D7A) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Antara berita penyiasatan menggemparkan negara membabitkan kolaborasi Harian Metro bersama ATIPSOM diketuai Maszely ialah melumpuhkan sindiket penyeludupan warga Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui Op Pintas KLIA, pada 6 Disember tahun lalu.

April 2015 pula, kerjasama akhbar ini dan ATIPSOM berjaya menumpaskan sindiket penjualan bayi seterusnya melayakkan Harian Metro mendapat pengiktirafan apabila memenangi pingat perak pada Anugerah Media Asia 2016 anjuran Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Dunia (WAN-IFRA).

November 2015 sekali lagi kerjasama kedua-dua pihak membuahkan kejayaan apabila sindiket yang mengaut keuntungan lumayan setiap bulan dengan memeras keringat amah warga Indonesia bak ‘hamba abdi’ tanpa bayaran setimpal dapat ditumpaskan.

Sementara itu, pada istiadat penganugerahan hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Jamil Salleh, mendahului senarai 293 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Melaka.

Jamil adalah seorang daripada tiga penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Gambar ihsan Maszely Minhad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 10:06 PM