PELABUHAN KLANG: Lembaga Pelabuhan Klang (LPK)), Westports dan Jabatan Laut memulakan penyiasatan terhadap kejadian dua kapal kontena bergesel dan menyebabkan berlaku kebakaran di Westports, kira-kira satu kilometer dari sini semalam.

Pengerusi LPK Tan Sri Kong Cho Ha berkata pihak berkuasa mengambil langkah untuk memastikan kejadian melibatkan kapal MV Al Riffa dan MV San Felipe itu tidak memberi kesan terhadap alam sekitar.

“LPK juga bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan, pemilik atau pengurus kapal terbabit serta pakar yang dilantik syarikat insurans kapal terbabit untuk memadam sepenuhnya kebakaran di atas kapal MV San Felipe,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pengurus besar LPK Datuk Kapten David Padman dan ketua pegawai operasi Westports Malaysia Ian James tentang kejadian itu di sini hari ini.

Pada kira-kira jam 7.30 malam, MV San Felipe bergesel dengan MV Al Riffa, yang berlabuh di dermaga berhampiran dan menyebabkan kedua-dua kapal terbakar. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 9:51 PM