ANTARA penerima vaksin menerusi program berkenaan.
ANTARA penerima vaksin menerusi program berkenaan.
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) kini dalam usaha melaksanakan program pemberian vaksin tambahan kepada 15,000 petugas barisan hadapan pelabuhan dan logistik di Pelabuhan Klang di bawah fasa kedua.

Pengurus Besar LPK, Kapten K Subramaniam berkata, bagi melaksanakan program itu, LPK sedang bekerjasama erat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

"Program pemberian vaksin tambahan kepada seramai 15,000 orang petugas barisan hadapan pelabuhan dan logistik di Pelabuhan Klang di bawah fasa kedua program ini dijangka akan dimulakan secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Setakat ini katanya, LPK sudah melaksanakan program ini dalam fasa pertama kepada 10,000 petugas barisan hadapan dalam Sektor Pengangkutan (Maritim) di mana semua penerima vaksin menerima dua dos suntikan hari ini (27 Julai).

"Jumlah pemberian vaksin yang dilakukan setakat ini merangkumi 40 peratus daripada jumlah tenaga kerja pelabuhan dan logistik di sekitar Pelabuhan Klang termasuk pelaut dan pekerja pelabuhan.

"Fasa pertama Program Vaksinasi Sektor Pengangkutan (Maritim) dikendalikan oleh LPK dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia, Northport (Malaysia) Bhd, Westports Malaysia Sdn Bhd dan Port Klang Free Zone dilancarkan pada 25 Jun di Kelab Sukan dan Rekreasi Pelabuhan Klang.

"Program vaksinasi diharapkan dapat mengurangkan kes dengan gejala yang serius serta dapat melegakan tekanan kepada hospital selain membantu negara mencapai imuniti kelompok yang disasarkan," katanya.

Bagaimanapun katanya, walaupun sudah mendapat vaksin, orang ramai harus terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebagai usaha memerangi wabak itu.

"LPK mengucapkan terima kasih kepada MOT, Mosti, Protect Health dan sukarelawan di atas sumbangan mereka yang tidak ternilai bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan teratur," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 8:17 AM