AIDA (dua dari kiri) memberi penerangan konsep pembelajaran aktif kepada Adnan dan Ahmad Phesal.
AIDA (dua dari kiri) memberi penerangan konsep pembelajaran aktif kepada Adnan dan Ahmad Phesal.

Kanak-kanak belajar perkara baru melalui permainan dan gerak hati. Justeru, peranan pembelajaran di sekolah sangat penting untuk memberi pemahaman yang mendalam terhadap perkara yang dilihat dan diteroka.

Berjalan, sesi bercerita dan menyanyi, semua aktiviti berkenaan membantu menggalakkan minda anak kecil ini mula berhubung serta bekerja. Namun, kebanyakan ibu bapa lebih mempercayai keberkesanan pembelajaran secara tradisional untuk memastikan anak mereka berjaya dalam akademik semata-mata.

Memahami kebaikan dan kepentingan pembelajaran melalui aktiviti menyeronokkan, Primrose Hill Active Learning di pusat beli-belah Avenue K, Kuala Lumpur memperkenalkan konsep pembelajaran aktif, kaedah yang masih baru di negara ini.

Menurut Pengarah Primrose Hill Active Learning, Aida Bashah, konsep berkenaan diguna pakai bagi membantu meningkatkan prestasi kanak-kanak menambah ilmu pengetahuan melalui perbuatan, pemikiran, penerokaan dan interaksi sosial.

“Teknik pembelajaran yang unik kepada kanak-kanak prasekolah dan berusia empat hingga 10 tahun itu turut memberi penekanan terhadap subjek utama iaitu Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Tiga subjek utama yang diajar dalam kaedah me­nyeronokkan membantu me­ngembang dan memahami kemahiran bercakap, mendengar, membaca, menulis, penyelesaian masalah, biologi, kimia dan fizik.

“Selain menggunakan kaedah interaktif, setiap aktiviti yang dilakukan termasuk bermain membantu menggalakkan perkembangan bahasa, kerjasama di dalam kumpulan dan keyakinan diri,” katanya.

Hadir sama pada majlis pelancaran, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Ujarnya, matlamat penubuhan pusat pembelajaran itu adalah untuk memberikan kegembiraan sewaktu sesi pembelajaran dan mempelbagaikan kemahiran dimiliki kanak-kanak sebagai persediaan memasuki dunia persekolahan yang lebih formal.

Malah, setiap kanak-kanak juga berpeluang mengikuti Cambridge Primary Curriculum di sekolah antarabangsa. Tambahnya, konsep pendidikan yang digunakan itu masih baru di Asia namun sudah diamalkan di Eropah dan Amerika.

Di United Kingdom, kebanyakan masyarakatnya menganggap pembelajaran aktif sebagai cara terbaik untuk kanak-kanak membangunkan kemahiran, ilmu pengetahuan dan sikap positif dalam diri.

“Namun di Asia, kita banyak didedahkan dengan asas pendidikan yang memberi fokus kepada akademik saja berbanding pembelajaran aktif melalui aktiviti.

“Memang pada mulanya, saya agak bimbang dengan penerimaan masyarakat di negara ini namun konsep yang cuba diperkenalkan mula diterima secara perlahan-lahan oleh ibu bapa pada hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:02 AM