PELAJAR Green Ranger Malaysia melawat Muzium Perhutanan Kuala Sepetang, Perak, sempena sambutan Hari Bumi Sedunia 2015.
PELAJAR Green Ranger Malaysia melawat Muzium Perhutanan Kuala Sepetang, Perak, sempena sambutan Hari Bumi Sedunia 2015.
Oleh Mohamad Hussin

Seramai 120 pelajar Green Ranger Malaysia (GRM) berusia antara tujuh hingga 18 tahun berpeluang melawat Muzium Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kuala Gula dan Muzium Perhutanan Kuala Sepetang, Perak, sempena sambutan Hari Bumi Sedunia 2015, baru-baru ini.

Projek pemuliharaan hutan bakau ini dijayakan pelajar GRM terdiri daripada (Kancil GRM) yang berusia 7 hingga 9 tahun, (Hornbill GRM) yang berusia 10 hingga 12 tahun, (Pioneer GRM) yang berusia 13 hingga 15 tahun dan (Navigator GRM) berusia 16 hingga 18 tahun.

Jurulatih Antarabangsa GRM Malaysia, Dr S Santharasekaran berkata, hutan bakau adalah habitat semula jadi dan khazanah negara di samping tempat tinggal pelbagai spesies pokok pesisiran pantai, sungai, haiwan, serangga dan burung.

Beliau berkata, jika ekosistem semula jadi ini musnah, khazanah turut hilang dan menjejaskan alam sekitar.

“Hutan bakau adalah khazanah dunia yang perlu dipelihara untuk kepenti­ngan sejagat dan segala ancaman luar seperti pembangunan dan pemusnahan hutan bakau harus dikawal.

“GRM menyokong penuh projek pemuliharaan hutan bakau sebagai khazanah negara ini.

“Peranan hutan bakau sebagai agen penghalang ombak, habitat semula jadi dan sumber ekonomi negara amat penting dipelajari anak-anak muda masa kini,” katanya selepas melawat muzium itu.

Turut hadir, Pengerusi Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula, Zakaria Mohamad.

Menurutnya, projek tanaman bakau itu adalah acara tahunan GRM bersama Global Envoronment Centre (GEC) dan Sahabat Bakau Malaysia.

“Sebanyak 100 batang anak pokok bakau kurap dan minyak dapat ditanam selain 500 bakau di petak semaian.

“Pelajar turut diberi pendedahan kaedah menanam bakau di petak semaian,” katanya.

Katanya, buah bakau ditanam dan dijadikan anak pokok untuk menggiatkan aktiviti tanaman bakau di sekitar Kuala Gula.

“Sebanyak 30,000 anak bakau diperlukan dalam setahun untuk menggandakan proses pertumbuhannya di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, kuantiti karbon dioksida di persekitaran hutan bakau semakin bertambah dan ini menyumbang kepada pemanasan dan peningkatan suhu mikro dan suhu dunia.

“Jumlah gas yang disimpan oleh tumbuhan tanah lembap adalah lebih tinggi berbanding hutan tropika iaitu lebih 5,800 tan karbon per hektar berbanding 300 hingga 500 tan karbon per hektar oleh hutan tropika,” katanya.

Pada program itu, pelajar berpeluang mengunjungi kilang membuat kayu arang di Kuala Sepetang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 12:18 PM