PENDUDUK di Teluk Manila membaiki bumbung kediaman mereka yang rosak akibat ribut yang berpunca daripada taufan Noul, kelmarin.
PENDUDUK di Teluk Manila membaiki bumbung kediaman mereka yang rosak akibat ribut yang berpunca daripada taufan Noul, kelmarin.

Manila: Dua penduduk dilaporkan terbunuh selepas taufan Noul melanda timur laut Filipina, semalam, kata pihak berkuasa.

Taufan Noul yang membawa angin sekuat 220 kilometer sejam adalah taufan keempat dan paling kuat melanda negara itu pada tahun ini.

Pihak berkuasa berkata, pemindahan penduduk di kawasan tepi pantai dan cerun gunung berapi berjaya mengurangkan jumlah korban.

“Penduduk patuh dengan amaran kami dan berpindah dengan segera.

“Mereka belajar daripada kejadian taufan sebelum ini,” kata Pengarah Jabatan pertahanan Awam Wilayah Timur Laut, Norma Talosig.

Seorang penduduk berusia 70 tahun dan anak lelakinya berusia 45 tahun disahkan mati selepas terkena renjatan elektrik ketika meninggalkan kediaman mereka di bandar Aparri, kelmarin.

Seramai 3,000 penduduk di perkampungan nelayan di wilayah Isabela dan Cagayan dipindahkan bermula Jumaat lalu.

Beratus-ratus penduduk kampung berhampiran gunung berapi Bulusan turut dipindahkan.

Pihak berkuasa bimbang hujan lebat boleh mencetuskan kejadian tanah runtuh di cerun gunung berapi berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 7:18 AM