Oleh Irfan Khairi

Sering kita dengar mengenai turun naiknya perniagaan. Yang naik, syukur alhamdulillah kerana diberi rezeki. Yang turun, perlu banyak bersabar dan reda dengan ujian yang menimpa. Sememangnya perniagaan seperti roda, ada turun dan naiknya. Bukan saja perniagaan, tetapi juga pada usahawan yang tidak lari daripada turun naiknya perasaan dan pemikiran.

Pelbagai pengalaman yang dilalui oleh usahawan, namun satu pengalaman yang jarang dikongsi dan dibicarakan adalah perasaan seorang diri umpama terasa sunyi apabila menjalankan perniagaan kerana masa, tenaga dan fikiran sering tertumpu pada bisnes saja sehingga tiada masa untuk bersosial, bersama keluarga dan perkara lain selain perniagaan.

Alam perniagaan yang semakin sengit memberi tekanan kepada usahawan untuk terus menumpukan masa, tenaga dan fikiran pada perniagaan manakala kitarannya berpusar sehingga terperangkap dalam kesunyian diri ini.

Hendak berbicara mengenai masalah kesunyian ini, nanti dilihat seperti kelemahan pada diri sendiri pula. Dalam keadaan ini, motivasi mula jatuh merudum. Takut yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran pula kerana larinya fokus pada fikiran usahawan.

Khusus bagi mereka yang terperangkap dalam keadaan ini, berikut enam nasihat daripada saya:

1. Rujuk kembali matlamat anda

Sebelum memulakan perniagaan, pasti kita mempunyai matlamat terbaik. Apabila menjalankan perniagaan pula, ada kalanya ketika kesunyian dalam kesibukan ini, matlamat terbabit makin hari makin tersasar arahnya.

Rujuk kembali dan sering ingat matlamat asal anda. Ada kalanya perkembangan perniagaan memerlukan kita memikirkan kembali matlamat yang ditetapkan sebelum ini. Ada kalanya juga pengalaman berniaga membuatkan kita mengubah hala matlamat kita. Namun, apa yang penting perlu sentiasa memikirkan kembali matlamat supaya arah yang kita tuju itu betul.

2. Jangan pedulikan suara negatif diri

Biasanya apa yang akan menjatuhkan motivasi kita adalah suara negatif yang hadir di minda kita lebih daripada suara negatif orang lain.

Apabila orang berkata negatif mengenai perniagaan kita, mungkin kita boleh tahan. Tetapi, apabila fikiran kita menerima kata-kata negatif itu sebagai satu realiti, itulah yang melemahkan kita.

Ertinya, jika kita tidak membenarkan kata-kata negatif mengganggu kita, pasti kita tidak terganggu. Gantikan fikiran negatif menjadi positif untuk mengurangkan perasaan negatif dan rasa keseorangan.

3. Luangkan masa untuk perkara lain/b>

Jangan hanya 100 peratus memberi fokus kepada perniagaan saja sehingga mengabaikan tanggungjawab lain. Mungkin anda juga boleh melakukan perkara yang digemari dari semasa ke semasa hanya untuk memberi waktu rehat daripada tekanan perniagaan.

Sememangnya usahawan perlu juga waktu rehat dan masa di luar perniagaan. Waktu ini juga diperlukan untuk memberi kita lebih segar apabila kembali berhadapan dengan perniagaan.

Pasti antara matlamat kita menjadi usahawan adalah untuk mencapai kedudukan kewangan yang baik dan hidup bahagia. Oleh itu, jangan hanya kejarkan wang sehingga melupakan kebahagiaan diri.

4. Rakan untuk berkongsi

Berkongsi masalah dengan rakan yang memahami dapat mengurangkan beban di hati. Sebaiknya, rakan itu juga berkecimpung dalam bidang perniagaan dan fahami asam garam perniagaan.

Komunikasi bersama rakan berniaga dapat meluahkan sebarang masalah dan kegusaran yang timbul dengan cara berkongsi pengalaman. Ada kalanya kita memerlukan tempat mengadu dan ada masanya juga rakan itu memerlukan seseorang untuk berbincang.

Dapatkan seorang atau lebih kenalan usahawan yang boleh menjadi tempat bersama-sama berkongsi kisah perniagaan.

5. Luaskan pandangan

Sertai ekspo, berjumpa dengan kumpulan usahawan baru, hadiri sesi jaringan (networking), sertai program atau kursus perniagaan, bukan saja untuk menambah ilmu dan kenalan lain, tetapi ia juga umpama satu peluang meluaskan pandangan selain menumpukan pada perniagaan setiap hari.

Bagaikan serampang dua mata, ilmu dapat diperoleh untuk mengembangkan perniagaan dan kenalan dapat ditambah untuk meningkatkan jaringan perniagaan.

Mempelajari teknik, strategi dan teknologi baru yang boleh dimanfaatkan dalam perniagaan akan menjadikan perniagaan tidak di tahap lama dan semakin bergerak. Momentum ini juga memberi kepuasan kepada usahawan dengan melihat perkembangan perniagaan sejajar dengan matlamat yang ditetapkan.

6. Tabiat kita sebagai manusia

Pada akhirnya, usahawan adalah manusia juga yang mempunyai perasaan dan emosi. Perasaan sunyi dan keseorangan lumrah bagi semua orang pada waktu tertentu.

Sebaiknya kita menerima dan mengakui keadaan diri sendiri dan mencari penyelesaiannya. Bukan juga membiarkan perasaan itu memakan diri kita sendiri sehingga keadaan menjadi semakin teruk.

Tidak kira di mana saja tahap kejayaan sesuatu perniagaan, usahawan tidak terkecuali mengalami turun naiknya. Sebagai usahawan, bukan saja kekuatan fizikal diperlukan untuk menjalankan perniagaan, tetapi juga kekuatan dari segi mental.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 3:00 PM