FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kreatif, berani dan di luar kotak, namun ia boleh memberi kesan kepada sosial dan mencetuskan pengaruh tidak baik terutamanya kepada kanak-kanak.

Itu kebimbangan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai inisiatif pemasaran gerila yang digunakan secara meluas di negara ini sejak kebelakangan ini.

Bukan saja ada konteks yang agak keterlaluan, corak pemasaran 'gila-gila' hanya untuk melariskan produk semata-mata menyebabkan ia menjadi ikutan di media sosial.

Pengerusi Biro Keusahawanan dan Sosioekonomi, Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim berkata, dari segi konsep, tujuan setiap syarikat atau usahawan tampil dengan idea segar itu adalah baik untuk perniagaan.

Katanya, ia adalah elemen kreativiti yang tidak boleh disekat malah sudah menjadi trend di negara ini lebih 10 tahun lalu.

"Dengan adanya media sosial yang tanpa sempadan, ia mencetuskan idea di luar kotak untuk peniaga mempromosikan barangan.

"Di dalam pemasaran, usahawan perlu memilih sama ada ingin memperkenalkan produk atau mereka yang berkaitan dengan produk itu. Di sinilah ramai yang mempromosikan diri mereka, dengan pelbagai cara dan gaya yang tidak terfikir oleh orang lain.

"Pun begitu, terlalu banyak kandungan yang dihasilkan lebih kepada gaya yang melampau atau tergedik-gedik sehingga ia menjadi ikutan dalam kalangan netizen," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya elemen keterlaluan ini yang mengundang kebimbangan terutama apabila membabitkan akhlak dan jati diri seseorang muslim.

Katanya, setiap iklan yang dihasilkan akan menarik pengikut baharu dan ia akan terus berkembang dari semasa ke semasa.

"Ada yang memalukan, tapi demi produk dan perniagaan, ia tetap diteruskan berkali-kali. Ramai yang memberikan komen negatif, namun masih ada sebilangan kecil yang terpengaruh.

"Cuma apa yang masyarakat perlu tahu adalah, konsep ini juga digunakan syarikat besar, namun mereka lebih beretika dalam menghasilkan kandungan yang sesuai.

"Sementara di satu pihak lagi, mereka tak fikir yang lain, asalkan matlamat untuk mempromosi produk tercapai dan berkesan," katanya.

Justeru katanya, satu perbincangan meja bulat perlu diadakan oleh pihak berwajib untuk mencari solusi bagaimana mengelakkan karya yang boleh menjadi contoh negatif dalam masyarakat.

"Banyak juga kandungan yang baik-baik, antaranya menjual produk berkaitan muslim, patuh syariah dan sebagainya. Tetapi kita kena fikir bagaimana untuk elakkan kandungan yang mengarut dan mengada-ngada. Ia akan memberi masalah sosial nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 1:18 PM