Oleh Irfan Khairi

Teringat satu ketika dulu saya berbual dengan kenalan baik, Chef Ismail, mengenai perniagaan. Chef selebriti yang tidak asing lagi dan pemilik restoran yang sangat berjaya, Rebung di Bangsar. Apabila saya bertanya mengenai rahsia kejayaan Rebung, jawabnya:

“Untuk berjaya sebagai pemilik restoran hebat, perlu bermula dari bawah. Perlu tahu mencuci peti sejuk terlebih dulu. Perlu tahu selok-belok dapur terlebih dulu. Perlu tahu semua kerja yang dikira leceh terlebih dulu sebelum ingin memulakan perniagaan besar. Mungkin kita perlu bekerja dulu dengan orang untuk menimba pengalaman dan kemudian, perlahan-lahan mulakan perniagaan dan perlahan-lahan besarkan perniagaan.”

Sememangnya benar pesanan itu. Bagi saya juga, perniagaan saya kini hanya bermula sebagai one-man-show di Internet dari rumah bermula pada 2000.

Ramai yang inginkan perniagaan yang terus besar. Mungkin dapatkan pinjaman bank, geran kerajaan, minta bantuan kewangan daripada ahli keluarga ataupun bermodalkan sendiri puluhan atau ratusan ribu ringgit ingin memulakan perniagaan besar. BAHAYA!

Melainkan anda sedia mempunyai pelbagai pengalaman, pernah berjaya dalam perniagaan, tahu selok-belok dan turun naiknya keusahawanan, mempunyai jaringan perniagaan yang sedia besar dan hebat juga mempunyai modal besar pada waktu kecemasan sekiranya perniagaan tidak berjaya, justeru tidak salah hendak terus mulakan perniagaan besar. Tetapi, itu pun masih perlu berhati-hati.

Sebaiknya timba pengalaman dulu dari bawah, daripada kosong. Memulakan perniagaan kecil-kecilan dulu dapat membantu anda:

Meminimumkan risiko perniagaan

Sememangnya perniagaan memerlukan modal. Jika perniagaan kecil, modal pun kecil sebaliknya perniagaan besar perlukan modal besar dan risiko juga besar.

Sering saya dengar kisah mereka yang mempunyai simpanan RM20,000 dan ingin memulakan perniagaan lalu menggunakan keseluruhan RM20,000 itu. Bukan itu saja, berhutang pula RM20,000 lagi sebab tak cukup modal! Ini namanya mencari nahas!

Ketika merancang untuk memulakan perniagaan, dalam minda semuanya positif dan baik-baik belaka. Kita selalu fikirkan perniagaan akan berjaya dan modal berpuluh ribu ringgit itu akan memberi pulangan berkali-kali ganda.

Sebagai usahawan, sering kita dengar perlu berani mengambil risiko. Namun istilah ini sering disalahertikan kerana berani mengambil risiko diumpamakan perlu berani melakukan apa saja dan bersedia menerima kerugian.

Sebenarnya, perkataan berani itu perlu diubah menjadi bijak. Usahawan yang berjaya adalah mereka yang bijak mengambil risiko iaitu selepas mempertimbangkan segala kemampuan semasa dan risiko yang bakal dihadapi, adakah ia berbaloi? Sekiranya risiko yang diambil tidak berjaya, adakah ia akan meninggalkan kita dalam keadaan yang merugikan?

Mulakan kecil, rendahkan risiko pelaburan pada perniagaan. Kalau bisnes kecil pun tidak boleh berjaya, bagaimana hendak menjayakan bisnes besar?

Timba pengalaman dan ilmu

Apabila memulakan bisnes kecil dan mengembangkan perniagaan kecil itu perlahan-lahan dengan keuntungannya, pelbagai pengalaman dan ilmu dapat dipelajari.

Untuk berjaya dalam perniagaan, ilmu dan pengalaman memainkan peranan penting. Jadikannya satu cabaran untuk mengembangkan perniagaan kecil itu kepada perniagaan sederhana besar. Kemudian, daripada perniagaan sederhana besar, ia berkembang kepada perniagaan besar dan hebat.

Memang benar, ilmu perniagaan boleh dipelajari dari mana-mana saja. Pastinya cita-cita kita ingin menjadi ketua perniagaan, tetapi sebelum menjadi ketua, buangkan ego untuk belajar dari bawah. Tidak salah bekerja dalam bidang perniagaan yang ingin dibina untuk beberapa tahun dulu dari bawah untuk mempelajari selok-belok perniagaan.

Belajar daripada pengalaman dan hadapi susah senang perniagaan, kejayaan dan kegagalan perniagaan. Apabila bermula kecil, kegagalan juga kecil. Ilmu yang dipelajari melalui pengalaman sendiri membina sebuah perniagaan dari kecil hingga besar akan menjadikan seseorang itu lebih hebat sebagai usahawan berjaya.

Menguji diri dan pasaran

Tidak semua perniagaan berjaya pada kali pertama. Malah, lebih banyak kegagalan perniagaan pertama daripada yang berjaya. Memulakan perniagaan besar terus mendedahkan diri kita kepada risiko perniagaan gagal yang lebih teruk.

Jika dilihat syarikat besar dan jenama perniagaan terkenal di dunia, mereka melaburkan jumlah wang yang banyak untuk mengendalikan penyelidikan pasaran sebelum memulakan sesuatu yang baru.

Penyelidikan terbabit walaupun memakan belanja yang besar, ia menjimatkan lebih banyak modal dalam jangka waktu panjang sekiranya sesuatu yang baru itu tidak menjadi.

Sebagai perniagaan kecil, perlu juga melakukan penyelidikan pasaran untuk menguji sesuatu pasaran. Mungkin tidak mempunyai modal banyak untuk melabur pada penyelidikan pasaran seperti syarikat besar, oleh itu cara terbaik adalah menguji sendiri pasaran sedia ada dengan kemampuan sedia ada.

Apabila bermula kecil, ia dapat menguji kebolehan sendiri mengendalikan perniagaan. Ia juga dapat menguji pasaran perniagaan terbabit. Mungkin selama ini kita rasa kita boleh mengendalikan perniagaan dan mungkin kita rasa perniagaan itu mempunyai permintaan tempat tertentu.

Tetapi adakah ia pasti? Tidak semuanya pasti dalam perniagaan. Mula kecil dan uji kebolehan diri sendiri dan pasaran terlebih dulu. Mana tahu, selepas beberapa bulan anda mencuba, anda rasa perniagaan itu bukan untuk anda. Atau, selepas mencuba, baru anda tahu tiada pasaran yang bagus untuk perniagaan anda di situ. Maka, bermula kecil dapat membantu memperbaiki diri anda sendiri serta mengenal pasti pasaran dengan lebih tepat tanpa risiko yang tinggi.

Memang saya tahu, bermula dengan premis perniagaan hebat, berkereta mewah, mempunyai ramai kakitangan seolah-olah glamor dan kelihatan seperti orang berjaya.

Cuma dibimbangi premis hebat, kereta mewah dan kakitangan ramai itu yang membuatkan kita tertekan apabila hutang keliling pinggang. Pendapatan cukup-cukup makan dan perniagaan pula hampir lemas. Mudah-mudahan dijauhkan dari kita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 2:13 PM