Oleh Irfan Khairi

Tidak semua orang ingin memulakan perniagaan. Mungkin kerana tiada tergerak minat untuk menjadi usahawan. Sememangnya tiada salah di situ. Terpulanglah pada diri masing-masing kerana mungkin kita lebih selesa bekerja makan gaji. Rezeki pastinya ada di mana-mana saja.

Tetapi, sekiranya anda tidak pasti sama ada anda ingin memulakan perniagaan ataupun tidak, artikel saya pada hari ini mungkin dapat membantu anda melihat sebab mengapa anda perlu menjadi usahawan.

1. Ingin menjadi bos sendiri

Mungkin kita kurang berminat menerima arahan daripada pihak lain atau merasakan, kita boleh memberi arahan dengan lebih baik, maka, memulakan perniagaan sendiri membolehkan peluang untuk menjadi bos atau ketua kepada diri sendiri.

Anda yang menetapkan peraturan dan anda juga boleh melanggarnya. Siapa yang hendak menegur anda dalam perniagaan sendiri oleh kerana andalah ketuanya. Anda juga tidak memerlukan kebenaran sesiapa untuk melakukan sesuatu dalam perniagaan anda. Oleh kerana jalan perniagaan anda, anda sendiri tentukan.

Namun menjadi ketua sendiri bukanlah perkara yang mudah oleh kerana kini tanggungjawab jatuh 100 peratus ke atas diri sendiri. Sama ada berjaya atau gagal, ditentukan oleh kecekapan diri kita sebagai seorang ketua. Sekiranya gagal, maka 100 peratus adalah salah sendiri dan bukan lagi orang lain.

2. Lakukan apa yang anda minat

Antara pesanan awal saya khususnya untuk mereka yang baru ingin memulakan perniagaan adalah melakukan sesuatu mengikut minat sendiri. Melakukan sesuatu yang mengikut minat pastinya lebih menyeronokkan berbanding dengan melakukan sesuatu kerana terpaksa.

Apabila karier tumbuh berdasarkan minat, setiap hari menjadi hari yang sentiasa ditunggu-tunggu dan anda tidak kenal penat untuk berusaha.

Melakukan sesuatu yang kita minat adalah langkah pertama, tetapi jangan lupa pula dengan permintaan pasaran. Melakukan sesuatu yang kita minat saja dan mengabaikan pasaran dan permintaan tidak ubah seperti syok sendiri. Tiada permintaan, maka tiada pembeli. Bila tiada pembeli, perniagaan yang dijalankan terpaksa digulung tikar pula.

3. Membuka peluang pekerjaan kepada yang lain|

Memulakan perniagaan bukan saja membantu diri kita, tetapi juga menolong orang lain dengan cara mewujudkan peluang pekerjaan. Oleh kerana anda adalah pemilik perniagaan, anda juga boleh memilih siapa pekerja anda. Anda sendiri dapat membina pasukan sendiri dalam menjayakan perniagaan anda.

Di sini, kecekapan komunikasi dan mengendalikan pasukan adalah amat penting. Bak kata pepatah Inggeris, ‘No man is an island’ yang bermaksud, kejayaan tidak dicapai seorang diri, tetapi atas bantuan orang lain juga.

Peluang pekerjaan yang diwujudkan perlu dapat membantu usahawan mencapai matlamat perniagaannya. Dan ini tidak akan tercapai sekiranya kemahiran komunikasi dan pengendalian pekerja anda lemah.

4. Tetapkan jadual sendiri

Bila mempunyai perniagaan sendiri, kita boleh memilih jadual yang lebih fleksibel. Kini ramai yang memilih memulakan perniagaan melalui Internet. Dengan menggunakan Internet sebagai platform perniagaan, pelbagai manfaat dapat dinikmati oleh usahawan, termasuk waktu bekerja yang lebih fleksibel.

Oleh kerana perniagaan Internet tidak memerlukan kedai fizikal, maka, usahawan tidak perlu menunggu atau berada di kedainya sambil menjalankan perniagaan.

Namun ini tidak bererti kurangnya tumpuan masa pada perniagaan. Pengurusan masa memainkan peranan yang amat penting supaya usaha dan kerja yang dilakukan pada perniagaan memberi produktiviti yang optimum.

5. Meningkatkan ekonomi diri dan keluarga

Tentunya tujuan utama dalam memulakan perniagaan adalah untuk mendapatkan keuntungan. Apabila ianya dilakukan dengan baik, perniagaan dapat memberi pulangan yang lumayan. Dikatakan sembilan daripada 10 punca rezeki datangnya daripada perniagaan. Jika dilakukan dengan betul, berilmu, strategi dan teknik yang berkesan, pulangan perniagaan boleh memberi pulangan berganda.

Perlu diingat juga dan menjadi pengajaran kepada semua, untuk berjaya dalam perniagaan memerlukan usaha dan dedikasi yang tinggi. Tiada ruang untuk menjadi cepat kaya dalam perniagaan, tetapi usaha yang konsisten akan memberi pulangan yang berganda. Tidak semua perniagaan berjaya. Malah lebih banyak kisah kegagalan perniagaan sering kita dengar berbanding kisah kejayaan.

Natijahnya, pastinya ada pelbagai kebaikan memulakan perniagaan dan menjadi usahawan. Tetapi, dalam kebaikan, juga terdapat beraneka cabaran yang perlu dihadapi dan ditangani dengan bijak!

Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!

Salam Irfan Khairi, saya bekerja makan gaji selama hampir 15 tahun kini tetapi teringin pula memulakan perniagaan. Bagaimana caranya untuk mendapat dan memupuk minat menjadi seorang usahawan?

RUSHDI AMAN, Selayang.

Jawapan: Pepatah Melayu berbunyi, tak kenal maka tak cinta. Untuk cintakan perniagaan, perlu banyak membaca dan mempelajari selok-belok perniagaan. Tiada usahawan terus mempunyai minat berniaga sejurus selepas dilahirkan. Minat ini perlu dipupuk.

Nasihat saya untuk anda, mulalah membaca buku keusahawanan, biografi usahawan berjaya atau menghadiri seminar keusahawan. Juga, bergaul dengan usahawan lain akan memberi lagi input kepada diri kita sendiri untuk lebih memahami dan mengetahui dunia keusahawanan. Semua ini sedikit sebanyak akan mencambahkan minat dan semangat kita.

Sekiranya tiada pengalaman, apa kata fikirkan bagaimana boleh memulakan sesuatu bersama rakan kongsi yang mungkin mempunyai lebih pengalaman dalam perniagaan. Dalam masa yang sama, tambahkan pengalaman dan ilmu dalam bidang perniagaan.

Memulakan perniagaan sendiri terutamanya jika tiada pengalaman dan bantuan, mungkin sedikit sukar. Oleh itu, mempunyai rakan yang sama-sama membantu dalam perniagaan dapat memberi suntikan semangat dan boleh bertukar fikiran dalam mendalami perniagaan dengan lebih lanjut.

Ambil langkah demi langkah dalam memupuk minat. Dalami ilmu perniagaan dulu sebelum memulakan perniagaan. Kuatkan juga semangat dan motivasi oleh kerana dunia perniagaan tidaklah semudah yang kita sangka terutamanya bagi mereka yang baru saja hendak bermula!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 11:55 AM