Rais Yasin menerima cenderahati daripada Dr Ahmad Tajuddin Ali selepas merasmikan Persidangan Teknologi Grid Pintar Melaka 2022 di Hotel Lacrista, Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Rais Yasin menerima cenderahati daripada Dr Ahmad Tajuddin Ali selepas merasmikan Persidangan Teknologi Grid Pintar Melaka 2022 di Hotel Lacrista, Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
BERNAMA

Melaka: Melaka kian menghampiri negeri pintar seperti digariskan dalam Smart Melaka Blueprint 2035 apabila mengaplikasikan teknologi grid pintar dalam pentadbirannya.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata, Melaka bertuah apabila terpilih sebagai satu antara 28 bandar di dunia untuk menyertai Projek Teknologi Pintar yang dibiayai sepenuhnya oleh Global Environment Facility (GEF) sejak 2017.

"Projek ini adalah satu-satunya projek grid pintar yang dibangunkan di Malaysia dan rantau Asia ini, yang seiring dengan strategi dan inisiatif kerajaan negeri dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

"Kita sasarkan 30,000 kediaman akan menyertai inisiatif itu menjelang 2023 nanti berbanding 40 rumah yang telah menyertainya setakat ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Teknologi Grid Pintar Melaka 2022 di sini, tadi.

Hadir sama Pengerusi Bersama (Industri) Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan Pengurus Projek dan Pegawai Pembangunan Industri Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) Katarina Barunica.

Rais berkata, Projek Teknologi Pintar itu turut melibatkan integrasi dalam talian bagi teknologi tenaga lestari sedia ada di Melaka membabitkan 20 MegaWatt (MW) ladang solar, 30 KiloWatt (KW) panel solar bumbung, 4,000 liter solar thermal, 50 unit bangunan komersial dan industri, tiga unit pengesan elektrik, satu unit sistem bateri dan 40 unit meter pintar dari rumah kediaman.

Beliau berkata, sebuah pusat arahan digital turut dibangunkan di Menara Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Ayer Keroh bagi memantau keseluruhan sistem grid pintar berkenaan.

Sementara itu, MIGHT dalam satu kenyataan memberitahu integrasi dalam talian yang dibangunkan melalui Projek Grid Pintar itu berjaya mengurangkan pelepasan 19,000 tan karbon dioksida setara (tCO2eq), bersamaan dengan penanaman kira-kira 287,000 pokok dalam tempoh 10 tahun.

Kenyataan itu menyebut ia secara tidak langsung turut menyokong komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 dan aspirasi untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:37 PM