Oleh Mohd Rizal Abdullah


Miri: Seorang anggota polis cedera ringan apabila kereta dari unit peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis(IPD) Miri yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Honda Accord di Jalan Miri-Pujut, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada 7.20 pagi itu, anggota berpangkat koperal itu dalam perjalanan menghala ke perumahan Pujut 7 berikutan terdapat kes kecemasan kebakaran.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, kejadian berlaku apabila pemandu kereta jenis Honda Accord yang berada di hadapan kereta MPV polis enggan memberikan laluan.

Menurutnya, walaupun anggota polis berkenaan sudah membunyikan siren dan menyalakan lampu kecemasan, pemandu terbabit enggan bekerjsama.

"Sehubungan itu, rempuhan berlaku mengakibatkan anggota mengalami kecederaan di bahu kiri manakala pemandu berusia 65 tahun itu tidak mengalami kecederaan," katanya.

Katanya, anggota polis itu kemudiannya dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan dan dilaporkan keadaan stabil.

Menurutnya, pemandu warga emas itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 3:37 PM