BABAK telefilem Doa Untuk Adik.
BABAK telefilem Doa Untuk Adik.
ZAHIRIL Adzim dan Nabila Huda digandingkan di dalam telefilem Doa Untuk Adik.
ZAHIRIL Adzim dan Nabila Huda digandingkan di dalam telefilem Doa Untuk Adik.
PENGARAH, Azma Aizal Yusoof (kiri) memberi penerangan kepada Zahiril.
PENGARAH, Azma Aizal Yusoof (kiri) memberi penerangan kepada Zahiril.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Ketika ini siapa yang berani menafikan kehebatan Pengarah Terbaik pada Anugerah Tribute P Ramlee ini.

Satu persatu naskhah yang dipersembahkan berjaya menarik perhatian peminat drama Melayu, sekali gus membuka mata segelintir pihak yang pernah menafikan kemampuannya dalam berkarya.

Tidak terhad kepada satu genre saja, pengarah Azma Aizal Yusoof, 33, bijak menggunakan kelebihan yang ada dengan menggabungkan sebuah cerita berdasarkan pengalaman dan pemerhatian sekeliling.

Terbaru, sebuah lagi telefilem arahan Azma bakal meruntun jiwa menampilkan lakonan hebat Rusdi Ramli, Zahiril Adzim, Nabila Huda, Nadiah Aqilah dan ramai lagi.

Telefilem berjudul Doa Untuk Adik yang ditulis Azma sendiri dan terbitan syarikat produski BZ2121 ini sangat istimewa selain sarat dengan mesej berguna.

Menurut Azma, apa yang cuba disampaikan bukan sekadar tontonan semata-mata ,sebaliknya mahu mendidik masyarakat betapa pentingnya amalan berdoa dalam kehidupan khususnya umat Islam.

“Judul telefilem ini saja sudah cukup istimewa buat saya. Seperti yang kita tahu, doa itu memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Kisah ini sekali gus membuka minda setiap umat Islam untuk sentiasa berdoa dalam setiap perkara yang dilakukan. Apatah lagi jika ia membabitkan orang tersayang,” katanya.

Menyentuh mengenai tajuk itu, Azma menjelaskan ia diinspirasikan daripada sebuah mesej ringkas yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suatu hari, saya menerima kiriman mesej ringkas daripada seorang kenalan. Mesej itu menceritakan perihal doa antara si abang dan adik. Membaca keseluruhan mesej itu, terus terlintas idea nak buat cerita ini.

“Ketika saya menulis skripnya, saya sudah membayang–kan pelakon yang boleh membawakan watak utamanya. Alhamdulillah, apabila saya tawarkan kepada Rusdi dan Zahiril, mereka bersetuju,” katanya.

Gandingan tepat

Dalam telefilem ini, Rusdi Ramli diberi peranan sebagai abang sementara Zahiril Adzim pula menjadi adik.

Menurut Azma, kedua-duanya berjaya membawakan watak masing masing dengan cemerlang.

“Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan mereka. Saya sangat hormat dan anggap mereka sangat hebat. Paling penting, untuk karya ini saya sangat teruja kerana dapat menggandingkan dua pelakon berkarakter ini,” katanya.

Berkongsi caranya bekerja di lokasi, Azma memberitahu ,dia sering memberi kebebasan kepada semua pelakon bagi mencorakkan watak yang diberi.

“Jika di lokasi saya sering menganggap diri saya sebagai ibu bapa dan pelakon pula seperti anak. Sebagai ibu bapa saya hanya sediakan taman permainan dan memberi kebebasan kepada anak untuk bermain.

“Maksudnya di sini, saya tidak mahu menyekat kebolehan yang ada dalam diri seseorang pelakon. Apa yang mereka rasakan perlu ditambah untuk watak yang dibawa dan saya sedia berbincang. Bukannya kena ikut cakap saya 100 peratus. Perkara yang sama juga saya lakukan dengan kru,” katanya.

Pindah Langkawi

Mengimpikan ketenangan, Azma kini menetap di Langkawi sejak 10 bulan lalu.

Menurutnya, dia hanya akan ke Kuala Lumpur jika ada urusan kerja.

Azma juga menolak dakwaan kononnya dia merajuk hingga membawa diri ke pulau peranginan itu.

“Saya memilih Langkawi kerana memang mengimpikan untuk menetap di pulau sejak kecil lagi. Memandangkan saya lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur, kini saya ada pilihan untuk kehidupan yang lebih tenang.

“Tambahan pula, sebagai pembikin filem saya perlu merantau untuk melihat dunia lain. Pada masa sama mencari pengalaman hidup,” katanya.

Sinopsis

Mengambil latar penceritaan di beberapa lokasi di Langkawi seperti Kampung Gelam, Kedawang, Pantai Chenang dan Temoyong, telefilem yang menjalani penggambaran selama enam hari ini mengisahkan kehidupan dua bersaudara iaitu abang lakonan Rusdi Ramli dan adik, Zahiril Adzim.

Rusdi membawakan watak sebagai pesakit autism dan lemah dalam pelajaran sementara adiknya pula pelajar yang bijak.

Kehidupan mereka sangat akrab sehingga kedua-duanya berjanji untuk bersama hingga ke hujung nyawa.

Si abang suka berdoa dalam setiap perkara yang hendak dilakukan. Walaupun dia tidak mampu menghafal doa itu, tetapi dia tetap berusaha dengan membaca buku.

Selain Rusdi dan Zahiril, Syafie Naswip dan Izzy antara yang diberi tanggungjawab melakonkan watak abang dan adik ketika kecil.

Sementara itu, Nabila Huda pula sebagai isteri kepada Zahiril dan Nadiah Aqilah menjadi jiran kepada Rusdi dan Zahiril.

Meskipun penggambaran sudah selesai dijalankan, Azma memberitahu proses suntingan hanya siap sebelum hujung bulan ini dan dijangka ditayangkan dalam tahun ini juga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 12:46 PM