CRISTIANO Ronaldo (kanan) meraikan jaringannya untuk membawa Real ke separuh akhir selepas tewaskan Juventus di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi. - Foto EPA
CRISTIANO Ronaldo (kanan) meraikan jaringannya untuk membawa Real ke separuh akhir selepas tewaskan Juventus di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi. - Foto EPA

MADRID: Cristiano Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk membawa Real Madrid ke separuh akhir Liga Juara-Juara dalam aksi penuh dramatik yang menyaksikan pasukannya tewas 1-3, tetapi mara dengan agregat 4-3.

Juventus dilihat berjaya melakukan kebangkitan menakjubkan untuk sekurang-kurangnya memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan apabila Mario Mandzukic menjaringkan dua gol pada babak pertama dan Blaise Matuidi menambah jaringan ketiga selepas sejam permainan.

Jaringan itu menamatkan kelebihan Real yang mencatat kemenangan selesa 3-0 di Turin, minggu lalu tetapi Lucas Vazquez berjaya mendapatkan penalti pada masa kecederaan dengan penjaga gol Juventus yang juga kapten, Gianluigi Buffon dilayangkan kad merah apabila melepaskan kemarahannya kepada pengadil dari England, Michael Oliver.

Juventus memasukkan penjaga gol gantian, Wojciech Szczesny.

Begitupun dia gagal menyelamatkan sepakan penalti Ronaldo dan membawa Real ke separuh akhir buat musim kelapan berturut-turut. – Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 7:50 AM