PEMANDANGAN bandar Las Vegas yang bercahaya dirakam ketika pesawat mendarat pada waktu malam.
PEMANDANGAN bandar Las Vegas yang bercahaya dirakam ketika pesawat mendarat pada waktu malam.
PEMANDANGAN pulau Bora Bora yang dirakam ketika pesawat mahu mendarat di pulau berkenaan.
PEMANDANGAN pulau Bora Bora yang dirakam ketika pesawat mahu mendarat di pulau berkenaan.
ANDA boleh menikmati pemandangan bandar Cape Town dan Gunung Table ketika pesawat tiba dari utara sebelum mendarat.
ANDA boleh menikmati pemandangan bandar Cape Town dan Gunung Table ketika pesawat tiba dari utara sebelum mendarat.
JIKA melancong ke Tokyo, anda pasti disambut dengan pemandangan Gunung Fuji.
JIKA melancong ke Tokyo, anda pasti disambut dengan pemandangan Gunung Fuji.
JURUTERBANG memberikan panduan kepada penumpang mengenai kedudukan tempat duduk terbaik untuk merakam gambar sesuatu pemandangan.
JURUTERBANG memberikan panduan kepada penumpang mengenai kedudukan tempat duduk terbaik untuk merakam gambar sesuatu pemandangan.
Susunan Syed Ahmad Zulkarnain Syed Ali


Jika melancong ke luar negara, pasti anda tidak sabar-sabar untuk merakam gambar atau pemandangan menarik di satu-satu lokasi.

Kerana terlalu teruja, tidak ramai tahu bahawa pemandangan paling menakjubkan adalah ketika anda berada di dalam pesawat menuju ke destinasi pilihan.

Pesawat yang baru berlepas atau mahu mendarat di destinasi adalah peluang yang perlu diambil oleh setiap penumpang untuk merakam gambar terbaik.

Tidak kira sama ada menempah tiket kelas pertama, perniagaan atau ekonomi, anda pasti berpeluang untuk melihat keajaiban alam dari udara.

Landskap muka bumi yang berwarna-warni, gunung yang dilitupi salji dan pemandangan pencakar langit yang mengagumkan.

Bagaimanapun, masalah yang sering dihadapi ialah kedudukan mana perlu dipilih penumpang di dalam pesawat untuk merakam gambar menarik setiap kali mereka tiba ke destinasi.

Sebagai panduan, beberapa juruterbang syarikat penerbangan British Airways mendedahkan pemandangan dari udara yang paling disukai mereka dan tempat duduk paling sesuai untuk merakam gambar itu.

Ketua juruterbang British Airways, Kapten Al Bridger berkata, juruterbang melihat pemandangan menakjubkan dari kokpit.

“Bagaimanapun, penumpang juga boleh merasai pengalaman sama di tempat duduk mereka kerana pesawat baru jenis Boeing 787 mempunyai tingkap besar.

“Kami sentiasa berkongsi pengetahuan dan lokasi untuk melihat pemandangan menakjubkan yang boleh dilihat dari udara supaya pelanggan boleh menikmati pemandangan di destinasi sebelum mereka mendarat lagi,” katanya.

Seorang lagi juruterbang, Kapten Derek May memberitahu, ketika berlepas dari Sydney, Australia, duduk kanan pesawat untuk melihat pemandangan terbaik Pelabuhan Sydney.

Pelabuhan Sydney adalah pelabuhan semula jadi terbesar di dunia dan dari kedudukan itu penumpang boleh melihat pemandangan jambatan Pelabuhan Sydney serta Rumah Opera Sydney.

Kapten Simon Scholey pula berkata, jika anda menaiki pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang San Francisco, Amerika Syarikat (AS), mana-mana kedudukan dalam pesawat memberi pemandangan menarik.

“Sama ada duduk di kiri atau kanan pesawat, anda boleh melihat pemandangan indah Jambatan Golden Gate, pulau Alcatraz dan Teluk San Francisco,” ujarnya.

Pembantu juruterbang, Kate Laidler memberitahu, antara pemandangan bandar dari udara yang disukainya ialah Cape Town di Afrika Selatan.

“Jika mendarat pada awal pagi dari utara, anda boleh melihat pemandangan Gunung Table dan teluk Cape Town yang sungguh menakjubkan. Anda boleh melihatnya dari kedua-dua belah tingkap pesawat,” katanya.

Laidler juga mencadangkan penumpang duduk di bahagian kanan pesawat jika melancong ke Los Angeles, AS.

“Biasanya pesawat akan mendarat dari barat dan tempat duduk di bahagian ini adalah yang terbaik untuk melihat pemandangan Gunung San Gabriel, Sungai Los Angeles dan papan tanda Hollywood,” katanya.

Kapten Chris Hanson memberitahu, dia sangat suka melihat pemandangan Gunung Fuji dari udara.

“Sama ada mahu mendarat atau berlepas dari Lapangan Terbang Narita di Tokyo, Jepun, anda boleh melihat puncak Gunung Fuji yang dilitupi awan.

“Jika anda datang ke lapangan terbang ini, anda boleh lihat bandar Tokyo dan Gunung Fuji

di sebelah kanan. Anda juga boleh melihat gunung ini di sebelah kiri ketika pesawat membuat pusingan untuk mendarat,” katanya.

Kapten Mark Mannering-Smith pula berkata, jika tiba di London, Britain, penumpang akan disajikan pemandangan menarik Sungai Thames dan beberapa bangunan popular seperti O2 Greenwich.

“Pesawat biasanya menghampiri Lapangan Terbang Heathrow dari barat dan ini memberi peluang kepada penumpang untuk melihat pemandangan London.

“Pemandangan menakjubkan ini umpama ucapan selamat datang kepada pelancong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 1:28 PM