GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


LELAKI terjatuh ketika memancing di Kilometer 4 di Jambatan Pulau Pinang dari arah Georgetown menghala ke Prai, pada 24 Julai lalu, ditemui lemas, hari ini.

Mayat Y Gananaphan, 27, dari Ampang Jajar, Permatang Pauh, ditemui pada 9.48 pagi selepas lebih 48 jam kehilangannya dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mayat operator kilang itu dijumpai berhampiran jeti nelayan di Jelutong oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, mayat lelaki itu sudah dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi tujuan bedah siasat.

"Mayat mangsa dikenal pasti berdasarkan pakaian dipakai sebelum dilaporkan hilang.

"Menurut laporan dibuat isteri mangsa, lelaki terbabit mempunyai penyakit sawan," katanya kepada NSTP hari ini.

Terdahulu, mangsa dikatakan terjatuh di laut ketika memancing pada 10.40 pagi Jumaat lalu.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi SAR sejurus menerima aduan pada 11.35 pagi hari berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 3:25 PM