Kuala Lumpur: Sememangnya harga rumah setiap tahun meningkat baik dalam kategori rumah mampu milik atau bukan memandangkan dakwaan faktor harga tanah makin meningkat menyebabkan jualan kediaman terpaksa dinaikkan.

Perunding Hartanah, Tuanbri Hashim berkata, jika melihat kepada trend harga rumah mampu milik sejak tiga tahun kebelakangan ini sememangnya mempunyai perbezaan yang ketara.

Beliau berkata, kenaikan harga tanah terutama di kawasan bandar mengakibatkan harga jualan rumah terus meningkat memandangkan ia menyumbang sekitar 70 peratus kepada jumlah kos keseluruhan.

“Tiga tahun kebelakangan ini, kita boleh mendapatkan rumah mampu milik sekitar RM150,000 hingga RM200,000 seunit bergantung kepada lokasi dan pada hari ini agak sukar untuk mendapatkan kediaman pada kadar harga berkenaan.

“Jika kita lihat kebanyakan harga kediaman yang dilabelkan sebagai rumah mampu milik dijual pada harga RM400,000 ke atas dan ini memberi tekanan kepada pembeli memandangkan untuk membuat pinjaman bagi harga terbabit ia memerlukan pendapatan RM6,000 sebulan,” katanya.

Katanya, langkah kerajaan untuk membangunkan rumah mampu milik sememangnya membantu rakyat untuk memiliki kediaman sendiri terutama dengan menawarkan harga di bawah harga pasaran semasa.

“Namun, ada juga yang sukar untuk mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank pada hari ini dan pengenalan Skim Rumah Pertama yang dilancarkan sebelum ini dilihat boleh membantu orang ramai terutama golongan muda untuk memiliki rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:53 AM