Kuala Lumpur: Trend pembinaan rumah eko yang kini semakin berkembang di Malaysia dilihat mendapat pengaruh daripada kesedaran negara Eropah menerusi isu pemanasan global apabila orang ramai semakin prihatin dalam isu melindungi alam sekitar serta mendapatkan gaya hidup lebih baik.

Perunding Hartanah, Tuanbri Hashim melihat pembinaan rumah eko sememangnya memberi kesan positif kepada pembeli untuk mendapat tambah nilai selepas pembelian dari segi penjimatan kos terutamanya.

Katanya, rumah eko di Malaysia juga semakin mendapat perhatian pembeli memandangkan orang ramai mula sedar mengenai nilai tambah yang mereka peroleh selepas pembelian.

“Bagaimanapun, rumah eko ini dilihat mempunyai kos pembinaan lebih mahal berbanding rumah biasa memandangkan secara keseluruhannya ia tidak hanya tertumpu kepada reka bentuk pembinaan rumah berkonsepkan asas, tetapi perlu ada sistem tambahan lain bagi menyerapkan nilai sebuah kediaman eko sepenuhnya.

“Antaranya pemasangan solar di kediaman mempunyai kos lebih tinggi serta sistem penggunaan air secara cekap yang boleh digunakan semula bagi tujuan membasuh. Perkara ini memerlukan kos tambahan bagi pemasangannya,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, penjualan rumah eko di Malaysia lebih tertumpu kepada golongan pertengahan dan tinggi memandangkan kos jualan kediaman itu lebih mahal berbanding rumah biasa.

Menurutnya, berbanding pembeli biasa, mereka lebih memfokuskan kepada harga rumah berbanding nilai tambah lain yang boleh diperoleh selepas membeli.

“Namun, pada masa depan, rumah eko ini dijangka boleh dinikmati oleh semua orang apabila terdapat permintaan tinggi yang pasti mengakibatkan kos boleh dikurangkan.

“Pembinaan rumah eko juga menggunakan bahan-bahan berkualiti dan setiap perkara yang diwujudkan dalam kediaman mempunyai fungsi tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:18 AM