DR Siti Hawa (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Big Alice Goh (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Air Asia Big Bernard Francis pada majlis Perasmian Mydin dan Air Asia Big ‘Shop Eveyday Fly Today’.
DR Siti Hawa (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Big Alice Goh (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Air Asia Big Bernard Francis pada majlis Perasmian Mydin dan Air Asia Big ‘Shop Eveyday Fly Today’.

Subang: Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) pengendali pasar raya besar borong, yakin mampu mencapai jumlah keseluruhan pendapatan bernilai RM3 bilion tahun ini berbanding RM2.5 bilion tahun lalu.

Pengurus Jenama Pemasaran dan Bahagian Komunikasi, Sabariah Mohd berkata, Mydin turut mengorak langkah apabila dijangka membuka tiga hingga lima lagi cawangan Mydin membabitkan pelaburan antara RM80 juta hingga RM150 juta bagi setiap unit bergantung kepada keluasan.

“Mengikut perancangan, Mydin Mall akan dibina di Pelangi Indah, Johor dan beberapa cawangan lain di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Pulau Sebang, Melaka,” katanya pada majlis pengumuman perkongsian antara Mydin dengan AirAsia BIG, semalam.

Sehingga kini, syarikat terbabit mempunyai 266 cawangan merangkumi pelbagai format perniagaan di seluruh Malaysia.

Hadir sama, Pengarah Mydin, Datin Wira Dr Siti Hawa Mohd.

Pada masa sama, Mydin memandang positif terhadap kolaborasi bersama syarikat penerbangan tambang rendah di mana ia membenarkan pelanggannya yang juga pemegang kad Meriah untuk mengumpul mata dan menukarkannya untuk menebus penerbangan AirAsia secara percuma.

“Objektif utama kami adalah untuk memberi ganjaran kepada pelanggan setia agar mereka gembira membeli-belah di sini di samping memperoleh peluang untuk terbang ke mana saja.

“Apabila mereka berbelanja di mana-mana Mydin di seluruh negara, setiap RM1 yang dibelanjakan mendapat satu mata Meriah di mana 1,000 mata tersebut bersamaan dengan 250 mata BIG,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 8:21 AM