FOTO Ghazali Kori
FOTO Ghazali Kori
Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Program Transformasi Kerajaan (GTP) menjuruskan kepada isu penambahbaikan sosioekonomi di samping memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam menerusi tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Razak, berkata Program Transformasi Ekonomi (ETP) pula menumpukan keberhasilan dalam sektor ekonomi utama negara menerusi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara ( NKEA).

Najib berkata, GTP yang sudahpun memasuki tahun kedua terakhir dalam fasa GTP 2.0 menyaksikan sasarannya mencatat kadar pencapaian 105 peratus membabitkan kesemua tujuh NKRA.

Tujuh NKRA berkenaan ialah mempertingkat pembangunan luar bandar, mempertingkat pengangkutan awam bandar, mempertingkat pencapaian pelajar dan menangani isu kos hidup yang meningkat.

Tiga lagi ialah mempertingkat taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, mengurangkan jenayah serta membanteras rasuah.

Najib berkata, sasaran mutlak ETP pula ialah memperoleh USD15,000 (RM54,000) pendapatan negara kasar (PNK) per kapita menjelang 2020 serta mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan.

Najib berkata demikian pada majlis Pembentangan Laporan Program Transformasi Negara 2014, di Angkasapuri, di sini, malam tadi. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri kabinet lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 9:39 PM