NAJIB  bersama Dayah, antara contoh individu berjaya dalam Program Transformasi negara.
NAJIB bersama Dayah, antara contoh individu berjaya dalam Program Transformasi negara.
Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2014 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin amat dinantikan kerana ia bukan saja membabitkan hal berkaitan pembangunan negara, malah rakyat yang turut memperoleh limpahannya.

Bagi Ruqaiyah Azahari, 21, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diikutinya di GiatMara Kuala Pilah, Negeri Sembilan dalam bidang jahitan sejak 2009 hingga 2013 membolehkannya bertanding di peringkat antarabangsa.

“Saya melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen di GiatMara kerana mahu meningkatkan taraf hidup.

“Sepanjang menyambung pengajian di situ, saya turut mengambil upah menjahit untuk menambah pengalaman serta kemahiran,” kata anak kedua daripada enam beradik ketika ditemui pada pembentangan laporan program berkenaan di Angkasapuri di sini, kelmarin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Ruqaiyah, hasilnya, dia terpilih untuk mewakili negara pada pertandingan Kemahiran ASEAN 2012 di Jakarta, Indonesia dalam bidang fesyen teknologi dan memenangi pingat gangsa.

Pada tahun berikutnya, Ruqaiyah memenangi pingat lagi di Liepzig, Jerman.

“GiatMara banyak membantu saya serta rakan lain menajamkan kepakaran dipelajari dan ramai yang mampu berdikari atau menjadi peniaga berjaya selepas mengikuti pengajian di situ.

“Saya pernah bekerja untuk membantu keluarga dengan pendapatan RM300 sebulan dan kini, saya bersyukur kerana ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian di GiatMara boleh dikongsi dengan penuntut lain selepas saya diserap sebagai tenaga pengajar di GiatMara Titiwangsa tahun lalu,” katanya.

Kejayaan GTP dan ETP juga dikongsi bersama ibu tunggal empat anak, Dayah Mamut, 41, yang berasal dari Rumah Panjang di Betong, Sarawak.

Dayah adalah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sejak tiga tahun lalu dan dia menggunakan wang berkenaan untuk membeli peralatan pelajaran keempat-empat anaknya yang berusia 11 hingga 20 tahun.

“Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Andrew, Kuching sejak tujuh tahun lalu dengan pendapatan RM800 sebulan.

“Walaupun menerima BR1M hanya sekali setahun namun ia membantu saya membeli barangan keperluan pelajaran untuk anak,” katanya.

Menurut Dayah, dia gembira kerana terpilih untuk menerima bantuan berkenaan dan berharap ia diteruskan kerana bagi mereka yang berpendapatan rendah, BR1M amat membantu merancang perbelanjaan untuk persekolahan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 9:35 AM