Zuliaty Zulkiffli


Yan: "Dia pesan suruh makcik masakkan lauk sambal ikan tongkol dan jangan masak nasi lagi... tunggu sampai dia pulang ke rumah tetapi tak sempat menjamah makanan pun.

"Makcik hanya tahu dia jatuh laut selepas selesai solat Subuh pagi semalam apabila menerima panggilan dari tekong bot yang memaklumkan kejadian itu," kata Jamaliah Abdullah, 68.

Jamaliah adalah ibu kepada Mohd Rizal Ismail, 34, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot pukat tunda ketika menangkap ikan pada jarak kira-kira 9.7 batu nautika barat laut Pulau Bidan, di sini, semalam.

Difahamkan, Mohd Rizal yang sebelum ini bekerja dengan bot bilis sebelum bekerja hari pertama dengan nelayan pukat tunda itu pada hari kejadian.

Menurut Jamaliah, anaknya memang rajin bekerja malah dia turut melakukan kerja kampung untuk menyara mereka berdua.

"Dia buat ikan kering untuk dijual dan kalau ada orang panggil dia buat kerja apa pun, dia akan buat.

"Dia yang menjaga makcik selama ini sampaikan sanggup ketepikan untuk berkahwin. Makcik pernah carikan jodoh untuk dia tapi dia tak mahu sebab nak jaga saya, itu yang saya sedih sangat," katanya ketika ditemui di pusat operasi CARILAMAT, di Jeti Singkir Laut, di sini hari ini.

Jamaliah berkata, mereka menetap di Tanjung Dawai, di sini dan dia redha walau apa pun terjadi sama ada hidup atau sebaliknya.

Katanya, sebelum ini, Mohd Rizal yang juga anak ketiga dari empat beradik itu kerap menemaninya tidur kerana dia tidak sihat namun pada malam sebelum kejadian, dia tidur sendirian di biliknya.

"Esok pagi masa hari kejadian, dia keluar jam 10 pagi dan minta saya masak lauk sambal ikan tongkol," katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi pencarian yang dilakukan semalam ditangguh pada 7 petang semalam.

Beliau berkata, operasi disambung semula jam 7.30 pagi tadi yang membabitkan tiga sektor pencarian yang merangkumi 97.32 batu nautika persegi.

"Operasi membabitkan aset dari Maritim Malaysia dan bantuan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bantuan beberapa bot nelayan tempatan.

"Pencarian semalam hanya merangkumi 22.97 batu nautika persegi dan hanya membabitkan aset laut sahaja," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.

Noor Azreyanti berkata, operasi setakat sudah memasuki 12 jam sejak semalam dan sehingga kini tiada sebarang petunjuk ditemui di lokasi pencarian.

JAMALIAH Abdullah menunjukkan gambar anaknya, Mohd Rizal Ismail yang jatuh laut ketika keluar menangkap ikan berhampiran Pulau Bidan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
JAMALIAH Abdullah menunjukkan gambar anaknya, Mohd Rizal Ismail yang jatuh laut ketika keluar menangkap ikan berhampiran Pulau Bidan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 11:28 AM