Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Nepal dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India sudah dihubungi dan mereka selamat.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini hari ini turut mengesahkan pasukan pendaki Everest Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berada di kawasan Everest Base Camp dilaporkan selamat walaupun berlaku runtuhan salji akibat gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter yang melanda sebahagian besar Nepal dan turut menggegarkan utara India.

Katanya, Kementerian Luar sedang memantau situasi gempa bumi yang melanda Nepal dan kawasan India Utara hari ini.

"Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menggesa rakyat Malaysia yang berada di Kathmandu dan kawasan terbabit supaya bertenang dan memastikan berada di tempat yang selamat, selain memberikan kerjasama penuh serta mengikut arahan pihak berkuasa Nepal,"katanya.

Menurut kenyataan itu, ini kerana, perkhidmatan telekomunikasi dan lain-lain perkhidmatan sedang digerakkan sepenuhnya bagi membantu operasi menyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 8:51 PM