Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pulang kesemua lima pendakinya yang kini berada di Everest Base Camp (EBC), Nepal.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Wahid Omar berkata keputusan itu dibuat sekiranya perlu bagi menjamin keselamatan mereka.

“Kepulangan mereka bukanlah bermakna misi mereka gagal, tetapi ia disebabkan bencana alam.

“UTM berbangga dengan kesungguhan, keberanian, disiplin dan komitmen yang ditunjukkan kesemua pendaki dalam menjayakan impian mereka menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Kumpulan pendaki itu terdiri daripada Jamhuri Jumari, 21; Farul Aidib Mahamad Yusoff, 21; Azham Afzanizam Hamzah, 27; dan ketua pendaki Azim Afif Ishak, 27; dan isterinya Anis Zulaikha Zabani, 25, berlepas ke Kathmandu pada 28 Mac bagi menjayakan Projek Misi Perdana UTM Everest 2015.

Mereka dijadual pulang ke tanah air Jun ini dan disahkan selamat dalam kejadian gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu. Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku.

Wahid berkata, pihaknya ketika ini sentiasa berhubung terus dengan kesemua pendaki itu, selain Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Kathmandu bagi mendapatkan perkembangan semasa dan memantau keselamatan mereka.

Sementara itu, dalam mesej WhatsApp kepada universitinya hari ini, Azim berkata mereka kini masih berada di EBC yang lebih selamat berbanding Kathmandu.

“Alhamdulillah, berita dari Kathmandu, keadaan kembali normal. Bekalan makanan dan ubat kami cukup untuk tiga bulan. Sherpa yang menjaga pasukan UTM seramai 19 orang.

“Hari ini, kami masak nasi lemak dan rendang ayam,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 8:42 PM